Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Mahkamah benar penangguhan pengusiran petani di Kanthan

Mahkamah Tinggi Ipoh membenarkan permohonan penangguhan sementara terhadap enam petani di Kanthan, Perak yang ingkar notis pengusiran terhadap mereka untuk mengosongkan ladang.

Peguam enam petani tersebut, K Kunasekaran berkata Hakim Abdul Wahab Mohamed telah meluluskan penangguhan sementara yang akan berkuat kuasa sehingga 12 Januari tahun depan.

Kunasekaran turut menyatakan penetapan tarikh pendengaran kes permohonan enam petani terbabit mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman untuk membatalkan notis pengusiran bertarikh 13 Oktober bagi mereka meninggalkan tanah pertanian di Kinta, Perak telah ditetapkan.

Dua hari lalu, isu tersebut mencuri perhatian umum apabila aktivis PSM, Chong Yee Shan, dilaporkan mengalami kecederaan di wajah selepas didakwa ditolak sehingga terjatuh oleh seorang pegawai dari Pejabat Tanah dan Galian Perak (PTG) berhampiran ladang di Kanthan, Tambun.

Pengerusi PSM, Dr Michael Jeyakumar Devaraj, ahli jawatankuasa PSM R Karthiges, ahli Pemuda PSM Perak P Kesavan, dan seorang petani yang dikenali sebagai Ho Pon Tien, juga ditangkap kerana cuba menghalang pengusiran petani tersebut. Bagaimanapun, mereka telah dibebaskan dengan ikat jamin polis selepas itu.

Secara kebetulan dua hari lalu, enam petani berusia antara 49 dan 56 tahun itu memfailkan cabaran undang-undang dengan menamakan empat responden iaitu pentadbir pejabat daerah dan tanah Kinta, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak, pengarah pejabat tanah dan galian negeri serta kerajaan negeri. .

Menurut kertas kausa, enam petani itu berpendapat bahawa tanah pertanian itu telah diusahakan oleh ibu bapa dan ahli keluarga mereka secara berterusan sejak 1940-an semasa zaman penjajahan Tanah Melayu dan sehingga hari ini.

Mereka mendakwa bahawa responden sejak 2012 telah membenarkan petani untuk terus mengusahakan tanah, mewujudkan jangkaan yang sah bahawa pemohon akan diberikan plot gantian untuk penanaman.

“Responden khususnya responden kedua (Perbadanan Kemajuan Negeri Perak) yang berpengetahuan penuh telah bergantung kepada responden pertama (pentadbir pejabat daerah dan tanah Kinta) untuk mengeluarkan notis (pengusiran) kepada petani kecil dan melanggar jangkaan yang sah dan melanggar kewajipan mereka untuk bertindak adil dan saksama sebagai badan awam," kata enam petani itu.

Menerusi semakan kehakiman, petani berkenaan memohon beberapa ganti rugi, antaranya pengisytiharan bahawa mereka tidak diusir daripada tanah itu sehingga mereka diberi tanah gantian seluas 2 ekar.

Sebagai alternatif, petani menuntut ganti rugi atas pelanggaran jangkaan mereka.