Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Bekalan beras putih tempatan untuk Pahang mula diedar

Sebanyak 900 tan metrik beras putih tempatan (BPT) mula diedarkan kepada peniaga dan peruncit di Pahang hari ini.

Pengedaran BPT itu adalah antara langkah diambil kerajaan bagi menstabilkan bekalan beras di Pahang.

Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras (KPB) Pahang, Hamizan Musa bagaimanapun memberitahu pihaknya tidak pernah menerima aduan mengenai kekurangan bekalan beras di pasaran di negeri ini.

"Tiada aduan bekalan pernah diterima KPB, bekalan beras cukup di Pahang.

"Beras tu ada, yang menjadi masalah apabila berlaku pembelian panik.

"Kalau kita perlu (guna) sekampit, beli sekampit saja dan jangan bimbang kerana bekalan ada," katanya ketika ditemui media di Indera Mahkota, dekat Kuantan, Pahang, hari ini.

Terdahulu, Hamizan melakukan pelepasan BPT di gudang syarikat pemprosesan, pengedaran dan pemasaran beras di situ.

Dia berkata, syarikat berkenaan adalah antara lima syarikat di Pahang yang diberi tanggungjawab mengedarkan bekalan BPT melalui program panel pemborong BPT diperkenalkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. 

Katanya, syarikat terbabit menerima bekalan BPT dari Kedah dan Kelantan sejak semalam dan pagi ini.

"Beras itu akan dibungkus semula menggunakan jenama syarikat terbabit sebelum diedarkan ke seluruh Pahang.

"Harganya seperti ditetapkan kerajaan, RM26 bagi kampit 10 kilogram," katanya lagi.

Ketika ditanya mengenai bekalan BPT itu, Hamizan berkata ia diterima secara berperingkat dari negeri yang menjadi pengeluar beras tempatan.

Katanya, perolehan bekalan bergantung kepada musim tuaian padi di negeri terbabit.

"Macam sekarang musim penuaian di Kedah dan Kelantan, lepas ini kita dapatkan pula bekalan dari Selangor, Terengganu, Perak, ikut musim tuaian di negeri berkenaan," katanya.

Dia memaklumkan jumlah 900 tan metrik diedarkan mulai hari ini mampu bertahan untuk beberapa hari sebelum menerima tambahan bekalan BPT seterusnya. 

"Bekalan BPT ada, jadi lepas ini mereka akan terima lagi, dari semasa ke semasa," katanya.