Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

'Malaysia teroka hantar pensyarah ke latihan TVET di Korea Selatan, Turkiye'

Malaysia sedang meneroka peluang untuk menghantar pensyarah serta jurulatih khususnya dalam bidang Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk mendapatkan Latihan Jurulatih (ToT) ke Korea Selatan dan Turkiye.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata kedua-dua negara berkenaan merupakan antara sumber baru yang memiliki institusi TVET terbaik dan berpengalaman.

Zahid berkata buat masa ini, kerajaan ada menghantar pensyarah ToT ke Jerman dan Jepun, kerana kedua-dua negara ini mempunyai kekuatan dalam TVET, selain memiliki mempunyai hubungan yang sangat lama dengan Malaysia.

“… tetapi kita harus meneroka peluang dengan Korea Selatan sebab negara ini mempunyai institusi yang cukup berpengalaman.

“Sementara itu, Turkiye pula memiliki kemahiran tinggi dari segi industri pertahanan,” katanya ketika ditemui selepas menyertai sesi bual bicara kelolaan Overseas Development Institute (ODI) bertajuk ‘Modal Insan Penggerak Pembangunan Negara: Pandangan Daripada Pendekatan Ekonomi Baharu Malaysia’ di London.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata di dalam Belanjawan 2024, keterampilan latihan secara profesional diberi satu daripada keutamaan untuk mewujudkan sumber guna tenaga baru.

Dia berkata ToT merupakan satu elemen penting dalam mempercepat dan mempertingkatkan latihan dan skil tenaga kerja baru.

“Saya akan berbincang dengan menteri kewangan yang juga perdana menteri Malaysia untuk memperuntukkan sebahagian daripada Belanjawan 2024 untuk tujuan ini.

“Cadangan itu akan diterjemahkan selewat-lewatnya pada suku pertama tahun hadapan kerana bajet yang disediakan perlu mendapat penyelarasan bagi tujuan memberi latihan baru bagi jurulatih dan pensyarah.

“Kami juga akan membuka peluang untuk bakal jurulatih ini belajar mengenai industri baru, umpamanya dalam industri aeroangkasa kerana peluang dalam sektor penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) amat besar di Malaysia,” katanya.

Terdahulu, semasa sesi bual bicara berkenaan, Ahmad Zahid turut berkongsikan dengan hadirin mengenai Ekonomi Madani yang menetapkan agenda inklusif dan dinamik untuk Malaysia.

“Ekonomi Madani memfokuskan kepada penyusunan semula ekonomi bagi mendukung Malaysia sebagai peneraju di rantau Asia dan memberi manfaat kepada rakyat untuk kualiti hidup yang lebih baik.

“Apabila kami menyebut tentang ekonomi manusiawi dan ekonomi berpaksikan rakyat, inilah yang kami maksudkan iaitu memberikan sumber, kemahiran dan peluang kepada rakyat bagi memenuhi potensi mereka,” katanya.

Selain TVET, modan insan dan Ekonomi Madani, Ahmad Zahid turut menekankan mengenai Malaysia selaku peneraju dalam industri halal dengan pengiktirafan global terhadap produk, perkhidmatan dan pensijilan halalnya.

Dia berkata Malaysia melihat banyak peluang penting dalam industri itu termasuk pekerjaan baru dan pertumbuhan dalam industri yang akan memanfaatkan modal insan serta ini diterjemahkan menerusi Pelan Induk Industri Halal 2030 yang bermatlamat mengembangkan industri mencapai AS$106.1 bilion menjelang akhir tahun ini.

Ahmad Zahid sedang dalam lawatan kerja ke United Kingdom dari 25 hingga 28 Okt, sempena Persidangan Perniagaan Halal Sedunia (WHBC 2023) di London anjuran Halal Development Corporation.

Dia dijadual merasmikan dan menyampaikan ucaptama pada persidangan itu pada 27 Okt.

Ahmad Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah turut akan mengadakan pertemuan dua hala dengan Setiausaha Alam Sekitar, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar UK Thérèse Coffey dan ahli Parlimen UK yang beragama Islam.

-Bernama