Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kes 1MDB Najib: Pendakwaan mohon pinda butiran pertuduhan

Pihak pendakwaan memohon untuk meminda jumlah dalam satu pertuduhan salah guna kuasa dan dua pertuduhan pengubahan wang haram berhubung kes rasuah RM2.27 bilion 1MDB terhadap Najib Razak.

Bagaimanapun, peguam utama bekas perdana menteri itu, Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa pasukan pembelaan akan membantah permohonan pendakwaan untuk meminda butiran pertuduhan.

Semasa prosiding mahkamah terbuka di hadapan hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah pagi ini, timbalan pendakwa raya (DPP) Kamal Baharin Omar berkata pindaan itu bertujuan untuk mengurangkan jumlah salah satu daripada empat pertuduhan salah guna kuasa daripada RM49,930,985.70 kepada RM44,570,920.70.

Pendakwa raya berkata berhubung dua daripada 21 jumlah pertuduhan pengubahan wang haram, mereka mencadangkan pengurangan jumlah: RM652,600,000 kepada RM515,666,277.51 untuk satu pertuduhan pengubahan wang haram, dan RM12,436,711.87 kepada RM11,414,646 bagi pertuduhan lain.

Kamal berhujah bahawa pendakwa memohon pindaan itu berikutan keterangan dua saksi pendakwaan baru-baru ini, iaitu penganalisis jejak wang Bank Negara Adam Ariff Mohd Roslan dan pegawai penyiasat pengubahan wang haram (IO) SPRM Foo Wei Min.

Pendakwa raya menegaskan bahawa pihak pendakwaan diberi kuasa oleh Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan untuk meminda pertuduhan jenayah pada bila-bila masa semasa perbicaraan, dan bahawa mahkamah jenayah mempunyai bidang kuasa yang wujud untuk membenarkannya.

Kamal menegaskan bahawa pindaan itu tidak akan memudaratkan Najib kerana ia melibatkan pengurangan jumlah yang terlibat dalam tiga pertuduhan jenayah.

Muhammad Shafee Abdullah

Bagaimanapun, Shafee membantah permohonan pindaan pihak pendakwaan, dengan memaklumkan bahawa barisan pembelaan dan pemeriksaan balas mereka terhadap saksi pendakwa adalah berdasarkan jumlah yang dinyatakan dalam pertuduhan sebelum pindaan yang dicadangkan.

Shafee kemudian meminta pihak pembelaan diberi masa untuk menyediakan jawapan mereka terhadap permohonan pindaan pihak pendakwaan, dan mahkamah mendengar hujahan lisan pembelaan mengenai perkara itu esok.

Shafee menambah bahawa pihak pendakwaan hanya menyerahkan salinan permohonan pindaan kepada pasukan pembelaan sebelum prosiding bermula hari ini.

Sequerah kemudian membenarkan pendengaran permohonan pindaan pertuduhan disambung esok.

Sementara itu, perbicaraan petang ini ditetapkan untuk menyaksikan perbicaraan permohonan berkaitan kebolehterimaan dokumen untuk prosiding jenayah.

Najib berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion daripada 1MDB, sebuah dana kekayaan negara yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, tertuduh dikatakan melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

[Baca laporan asal]