Maips ke Mahkamah Rayuan, mohon beri bimbingan Islam pada anak Loh
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips) memohon Mahkamah Rayuan untuk dibenarkan memberikan bimbingan Islam kepada anak-anak ibu tunggal Loh Siew Hong yang memeluk agama Islam secara sepihak (unilateral).
Badan Islam negeri itu memfailkan notis rayuan pada Jumaat minggu lepas, menyasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonannya untuk mengubah perintah hak penjagaan tunggal yang diberikan kepada Loh berhubung anak-anaknya - pasangan kembar berusia 15 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun.
Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, peguam Maips, Danial Farhan mengesahkan pemfailan rayuan ke Mahkamah Rayuan pada 20 Okt.
Peguam itu berkata Mahkamah Rayuan masih belum menetapkan tarikh pengurusan kes kerana rayuan baru saja difailkan.
Ketika dihubungi Malaysiakini, peguam Loh, Gunamalar Jorindanjn mengesahkan bahawa Maips memfailkan rayuan itu pada minggu lepas.
Pada 11 Okt, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Maips, mendedahkan anak-anak Loh tidak mahu beragama Islam.
Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz berkata demikian ketika menolak permohonan Majlis Agama dan Istiadat Melayu Perlis (Maips) yang mahu menjalankan tanggungjawab termasuk memberi pendidikan asas Islam kepada tiga anak ibu tunggal itu yang sebelum ini diislamkan oleh bapa mereka.
Maips memohon mendapatkan perintah variasi terhadap ketiga-tiga anak Loh itu.
Isu itu tercetus apabila bekas suaminya, seorang mualaf, Muhammad Nagahswaean Muniandy menukar agama tiga anak mereka pada 2020 tanpa kebenaran Loh.
Hakim Hayatul berkata mahkamah tidak yakin bahawa permohonan Maips itu akan memelihara kebajikan tiga beradik tersebut.
Katanya, pertimbangan mahkamah adalah bahawa kepentingan kanak-kanak tersebut mengatasi kepentingan lain dan pihak-pihak harus menerima situasi tersebut sambil meminta masa depan mereka tidak dinafikan atau diganggu.
Dia berkata, pendedahan tiga beradik tersebut bahawa mereka tidak berminat untuk mendalami ajaran Islam diperolehi hasil temu bual terhadap mereka yang dijalankan secara berasingan dalam kamar untuk tempoh kira-kira sejam 30 minit pada prosiding 27 September lalu.
Menurut Hakim Hayatul Akmal lagi, ketiga-tiga anak itu kini lebih selesa menetap dengan Loh selepas hidup dalam keadaan trauma akibat terpisah selama tiga tahun. Ini juga selepas mendapati bapa mereka terlibat dalam dadah dan sering mendera ibu mereka.
Hakim mahkamah keluarga itu berkata, mengambil maklum berhubung laporan media lepas yang menyebut kanak-kanak itu didakwa menunaikan solat, dia berkata mereka memberitahunya bahawa ini adalah kerana mereka tiada pilihan.
Tiga beradik itu kini berada di bawah jagaan Loh dan menetap di Lembah Klang.
Secara kebetulan, Mahkamah Rayuan bersedia mendengar rayuan Loh untuk membatalkan penukaran agama tiga anaknya secara sepihak pada Januari tahun depan (rayuan itu pada mulanya ditetapkan untuk didengar pada 19 Okt tahun ini sebelum ia dijadualkan semula).
Maips meminta variasi perintah jagaan mahkamah sivil supaya majlis itu dapat memberikan pendidikan Islam kepada anak-anak semasa berada di bawah jagaan ibu bukan Islam mereka.
Dalam petisyen cerai, Loh, 35, diberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal ke atas anak-anak daripada Muhammad, 35, pada 2021.
Bagaimanapun, pada 2019, dilaporkan bapanya membawa tiga anak itu pergi manakala Loh dimasukkan ke hospital kerana kecederaan - yang didakwanya akibat serangan bekas suaminya itu.
Dikatakan bahawa Muhammad Nagahswaean pada 7 Julai 2020, telah memeluk Islam dan mengislamkan tiga kanak-kanak itu tanpa kebenaran Loh.
Pada 21 Feb tahun lepas, anak-anak Loh, yang berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat, dibebaskan kepada ibu mereka selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan habeas corpusnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai