Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Perwakilan: Jangan sampai MCA jadi RTM - rehat tunggu mati

Suasana tegang seketika di perhimpunan agung tahunan MCA hari ini apabila seorang perwakilan membangkitkan kemerosotan parti itu di depan presiden Wee Ka Siong dan barisan pimpinan lain.

Perwakilan MCA Puchong, Tan Kai Yong berkata tabiat MCA dalam mengelak isu berkaitan masyarakat Cina telah menyebabkan parti itu hilang sokongan dan kini dalam keadaan "nyawa-nyawa ikan".

Dia berkata MCA bukan saja telah hilang sokongan orang Cina tetapi turut gagal meraih undi daripada kaum lain.

"Sejak PRU 2008, MCA dalam keadaan merosot, tinggal nyawa-nyawa ikan," katanya.

Dia berkata, antara puncanya adalah ketika cuba meraih sokongan kaum lain, “sesetengah pihak” dalam MCA melukakan perasaan orang Cina atau mengeluarkan kenyataan yang mengancam hak mereka.

"Takut hilang undi kaum lain, MCA ada empat kaedah ketika berdepan isu - rundingan dalaman, memperkecilkannya, menghindar dan 'siam' (istilah Hokkien bermaksud mengelak)," katanya.

Tan menggesa MCA untuk melaksanakan pembaharuan dan menunjukkan parti itu sanggup untuk memperjuangkan hak masyarakat Cina.

"Saya tak mahu anak cucu saya hanya melihat MCA di Muzium Negara.

"MCA tidak boleh gagal ketika generasi kami, jadi saya sangat-sangat memohon para komrad untuk menyokong penuh kepimpinan pusat ke arah pembaharuan dalaman," katanya lagi.

Tak sertai pilihan raya

Dia juga mengeluh MCA telah menjadi "parti yang menyertai politik tetapi tidak menyertai pilihan raya".

Katanya, MCA Selangor di bawah kepimpinan Ng Chok Sin, yang meninggal dunia pada 27 Ogos lalu, telah membuat persediaan bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN).

Ng Chok Sin

"Itu mungkin menjadi pertarungan terakhirnya, mahu memimpin kami dalam pertarungan terakhir, untuk membakar jambatan dan berlawan sehingga peluru terakhir."

Namun, katanya lagi, hasrat Ng tidak dapat dipenuhi selepas kepimpinan MCA memutuskan untuk tidak bertanding dalam PRN walaupun akar umbi di Selangor telah pun bersedia.

"Sebelum 'dibunuh' parti lain, kita sudah pun angkat bendera putih, bermakna usaha yang dibuat akar umbi Selangor hanya sia-sia.

"Komrad sekalian, jika MCA terus mengelak daripada perlawanan dalam PRU akan datang, mendakwa ingin jadi low profile, lebih baik kita balik rumah dan tengok TV.

"Saluran mana? Tengok RTM kerana pada masa itu kita juga 'RTM' - rehat tunggu mati," katanya lagi.

'Genius matematik'

Dengan nada sarkastik, Tan berkata MCA ada banyak bakat terutama dalam bidang matematik.

Dia berkata "genius matematik" ini mendakwa prestasi MCA dalam pilihan raya meningkat 100 peratus ketika PRU15 apabila menang dua kerusi Parlimen, berbanding satu kerusi Parlimen pada PRU 2018.

"Tetapi 'genius-genius' ini hanya bercakap separuh benar kerana sebelum pembubaran Parlimen, MCA sudah pun ada dua kerusi Parlimen. Di mana kemajuannya? Di mana 100 peratus? Ini tidak masuk akal.

"Lebih-lebih lagi, 'genius-genius ini' juga tidak sebut yang walaupun MCA kata ada sejuta ahli, kita hanya menang dua daripada 222 kerusi Parlimen, iaitu kurang daripada satu peratus. Memalukan," katanya.

'Tidak amalkan empat kaedah'

Dalam jawapan segeranya, Wee dengan tegas menyangkal kritikan yang disuarakan itu.

"MCA tak pernah guna empat kaedah (yang disebutkan). Kita tidak pernah elak sebarang isu, terutama isu besar yang melibatkan prinsip kita."

Wee Ka Siong

Menurut Wee, ketegasan MCA berpegang dengan pendiriannya dalam isu penting telah menyebabkan bekas presiden Liow Tiong Lai kehilangan undi Melayu dan tewas di kerusi Parlimen Bentong pada PRU14.

Merujuk DAP secara tersirat, Wee berkata parti lain yang sebenarnya mengelak isu.

"Dalam kamus kita, anda tidak akan jumpa perkataan "rundingan dalaman, memperkecilkan, menghindar dan 'siam'.

"Mungkin hari ini, dalam parti-parti yang berkuasa, bila anda bangkitkan janji untuk turunkan harga minyak, anda boleh guna empat keadah yang disebut.

"Bila anda tanya mereka jika mereka mengiktiraf peperiksaan (UEC), mereka masih guna empat kaedah itu," katanya lagi.

Wee turut mengkritik "timbalan menteri pertanian dan keterjaminan makanan - merujuk kepada Chan Foong Hin dari DAP - kerana memperkecilkan isu kenaikan harga daging babi.

"Jika anda tanya pemimpin parti ini, dia akan bercakap dalam bahasa Siam dan kata 'siam'. Ini adalah contoh terbaik," katanya.

[Baca berita asal]