Sokong pahlawan yang menentang perkauman - Kumpulan siswa UM
Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) menggesa rakyat Malaysia menyokong kempen kutipan derma untuk bekas presidennya Wong Yan Ke.
Ini selepas Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau penjara tiga bulan terhadap Wong pada 9 Oktober lalu.
Sabitan kesalahan itu atas bantahan Wong terhadap bekas naib canselor Universiti Malaya Abdul Rahim Hashim semasa majlis konvokesyen pada Oktober 2019.
Umany berkata walaupun Wong telah menyelesaikan hukuman denda itu, dia telah memutuskan untuk memfailkan rayuan atas keputusan mahkamah.
“Kerana cabaran undang-undang ini bukan sahaja mengenai kebebasan peribadinya tetapi juga mengenai kebebasan bersuara mahasiswa di kampus dan masa depan rakyat Malaysia.
“Umany dan organisasi lain yang menyokong (usaha ini) percaya sebagai rakyat Malaysia, kita harus aktif menyokong dan berdiri bersama pahlawan yang berani mempertahankan demokrasi, kebebasan dan pluralisme sekular negara, tetapi telah dilayan secara tidak adil oleh pihak berkuasa.
“Oleh itu, kami menyeru semua orang untuk menyokong kempen kutipan dana yang dimulakan oleh Wong untuk kes ini dan menyokong pahlawan ini dengan keberanian yang tidak berkesudahan untuk mempertahankan apa yang betul,” tambahnya.
Majistret Illi Marisqa Khalizan ketika menjatuhkan hukuman bersalah berkata pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah berhubung pertuduhan terhadap Wong dibawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan.
Pun begitu, bekas pemimpin Umany itu berikrar untuk terus melawan perkauman.
"Walaupun keputusan saya bersalah, saya tidak menyesali bantahan saya, dan saya tidak akan berhenti berjuang.
"Saya graduan UM, saya orang Cina, tetapi lebih-lebih lagi, saya adalah rakyat Malaysia sejak lahir dan dibesarkan.
"Berdepan dengan keruntuhan nilai universiti dan perkauman yang berleluasa di negara kita, saya enggan mengambil jalan yang paling tidak menentang atau menjadi pemerhati pasif terhadap ketidakadilan ini," katanya.
Pada 14 Okt 2019, Wong telah mencetuskan kemarahan semasa konvokesyen UM apabila dia memprotes naib canselor atas dakwaan membuat kenyataan berbaur perkauman.
Ketika menerima ijazah tamat pengajiannya di atas pentas konvokesyen, graduan kejuruteraan itu menjerit: “Tolak rasis. Undur VC. Ini Tanah Malaysia.”
Sementara itu, kenyataan Umany disokong oleh Suara Siswa Universiti Malaya, Persatuan Bahasa Cina Universiti Malaya, Students Progressive Front UUM, Suara Siswa UUM, AIESEC Universiti Malaya, Liga Mahasiswa Rahman (RSL), Demokrat UM - Universiti Malaya, Persatuan Mahasiswa Universiti Monash, Teoh Beng Hock Trust for Democracy dan Agora Society Malaysia.
Mereka yang ingin menderma boleh berbuat demikian melalui laman web ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai