Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Tiada paksaan pengambilan Renong, kata Mahathir

Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad dan dua defendan lain berkata ahli perniagaan, Halim Saad tidak pernah dipaksa untuk melepaskan pegangan saham dalam syarikat bermasalah, Renong Berhad pada 2001.

Mahathir, bekas menteri kewangan II Nor Mohamed Yakcop dan kerajaan berkata demikian dalam pernyataan pembelaan mereka terhadap saman yang difailkan Halim.

"Defendan Ketiga (kerajaan) tidak pernah melakukan pengambilan paksa terhadap pemegangan saham UEM milik plaintif untuk melaksanakan tawaran am secara bersendirian atau bersama Renong Bhd (Renong) ke atas keseluruhan pemegangan saham dalam UEM Malaysia Bhd (UEM);

"Pengambilalihan hak plaintif tersebut telah dipersetujui oleh plaintif sendiri dengan jumlah pampasan sebanyak RM165 juta,” kata ketiga-tiga defendan dalam pernyataan pembelaan yang difailkan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 6 Okt lalu.

Pada 2 Ogos lepas, Halim memfailkan writ saman dengan menamakan Mahathir, Nor Mohamed dan kerajaan sebagai defendan.

Plaintif mendakwa dia diarahkan secara langsung oleh Mahathir dan juga melalui Nor Mohamed, untuk tidak meneruskan tawaran am kerana kerajaan mahu memperoleh semua saham dalam UEM melalui entiti yang ditetapkan, iaitu Khazanah Nasional Berhad atau pihak yang dicalonkan Khazanah.

Halim mendakwa bahawa ini dilakukan berdasarkan kuasa Khazanah Nasional Berhad yang melaksanakan pengambilalihan UEM Malaysia Berhad atas arahan kerajaan sebagai sebahagian daripada pemerolehan wajib antara Julai dan Oktober 2001.

Halim mendakwa pengambilalihan itu membabitkan 372 juta saham dalam Renong, manakala Dr Mahathir serta Nor Mohamed adalah penggerak utama pengambilalihan tersebut.

Ahli perniagaan veteran itu menegaskan bahawa dia berhasrat untuk membuat tawaran awam kepada UEM, sama ada melalui Renong atau bersama dengan Renong, untuk mengambilnya secara peribadi sebagai anak syarikat Renong.

Dia juga mendakwa bahawa walaupun menerima RM165 juta daripada Khazanah, ia tidak mewakili nilai sebenar hak milik dan saham Renong.

Halim mendakwa sebahagian daripada RM165 juta, iaitu RM100 juta adalah untuk membayar pampasan kepadanya kerana telah membayar RM100 juta kepada UEM berhubung dengan 'Put Option' yang mana kerajaan pada masa itu dikehendaki untuk tidak melaksanakannya.

Dia mendakwa sejumlah RM65 juta daripada RM165 juta itu adalah untuk membayar pampasan kerugiannya akibat rampasan pelbagai aset yang dicagarkan olehnya kepada pelbagai pembiaya untuk membiayai RM100 juta itu.

Tuntutan pernah ditolak mahkamah

Sementara itu, Mahathir dan dua lagi defendan berkata berkata plaintif telah memfailkan tuntutan yang sama pada tahun 2013, namun Mahkamah Tinggi telah membatalkan tuntutan tersebut pada 31 Okt tahun yang sama.

Menurut mereka rayuan plaintif ke Mahkamah Rayuan juga telah ditolak pada 2014, manakala permohonan untuk kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan juga telah ditolak setahun selepas itu.

"Oleh itu tindakan plaintif adalah terhalang oleh prinsip res judicata dan estoppel,” kata defendan.

Res judicata ialah istilah undang-undang yang bermaksud sesuatu perkara atau hal yang telah diputuskan hakim berdasarkan merit tidak boleh diadili lagi antara pihak yang sama.

Estoppel pula ialah prinsip undang-undang yang menghalang seseorang daripada berhujah sesuatu atau menegaskan hak yang bercanggah dengan apa yang mereka katakan atau dipersetujui sebelum ini oleh undang-undang.

Selain pernah menjadi perdana menteri dan menteri kewangan, Mahathir juga pernah menjadi pengerusi Khazanah.

Nor Mohamed pula dilantik sebagai penasihat BNM dari September 1998 hingga April 2000 dan bekerja di bawah Mahathir ketika krisis kewangan Asia melanda negara ketika itu.

Pada 2002, Nor Mohamed dilantik sebagai pengarah Khazanah.

Menerusi tuntutan mahkamah itu, Halim memohon relif berupa pengisytiharan serta remedi bagi dakwaan mencabuli kebebasan asasinya di bawah Perkara 13 dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 8 menyebut mengenai kesamarataan iaitu hak mendapat perlindungan sama rata di sisi undang-undang, manakala Perkara 13 menyebut mengenai hak seseorang terhadap harta.

Antara relif yang dipohon oleh Halim ialah pengisytiharan bahawa kerajaan bertanggungjawab memberikan pampasan yang mencukupi untuk pengambilalihan itu.

Halim diwakili peguam dari firma guaman Malik Imtiaz Sarwar.

Manakala Mahathir dan dua lagi defendan diwakili oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).