Netanyahu pembohong - duta Palestin ke PBB kecam letupan di hospital
Letupan di Hospital Arab Al-Ahli di Semenanjung Gaza, yang dipercayai telah meragut 500 nyawa menimbulkan kemarahan ramai pihak.
Duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour membidas Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu yang disifatkannya sebagai "pembohong".
Ini selepas Netanyahu menyokong dakwaan tentera Israel bahawa letupan itu disebabkan oleh roket kumpulan Jihad Islam Palestin yang tersilap sasaran.
"Dia seorang pembohong. Jurucakap digitalnya menulis ciapan bahawa Israel melakukan serangan dengan memikirkan bahawa terdapat pangkalan untuk Hamas di sekitar hospital ini, dan kemudian dia memadamkan ciapan itu.
"Kami mempunyai salinan ciapan itu... Sekarang mereka menukar cerita dengan cuba salahkan rakyat Palestin," kata Riyad.
Dia merujuk kepada ciapan di platform media sosial X oleh Hananya Naftali, yang jawatannnya dalam kerajaan Israel tidak dapat dipastikan.
Dalam ciapan berasingan kemudian, Hananya berkata dia "tersalah berkongsi maklumat berkenaan" dan meminta maaf.
“Awal hari ini saya berkongsi laporan yang disiarkan di Reuters mengenai pengeboman di hospital di Gaza yang secara palsu menyatakan Israel menyerang hospital itu.
"Saya tersilap berkongsi maklumat ini dalam siaran yang telah dipadamkan itu, yang mana saya telah merujuk Hamas selalu menggunakan hospital untuk menyimpan senjata dan menjalankan aktiviti pengganas.
“Saya memohon maaf atas kesilapan tersebut.
“Memandangkan IDF tidak mengebom hospital, saya menganggap Israel menyasarkan salah satu pangkalan Hamas di Gaza.
"Adalah diketahui bahawa Hamas menggunakan orang awam sebagai perisai manusia, ia satu jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan. Ini harus menjadi tumpuan,” tambahnya.
Sebelum ini, CNN melaporkan jurucakap tentera Israel Daniel Hagari sebagai berkata kekurangan kerosakan struktur di hospital menunjukkan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) tidak terlibat.
IDF juga berkongsi rakaman montaj berdurasi 30 saat, mendakwa tiada tanda-tanda kawah atau kerosakan besar pada bangunan yang akan terjadi sekiranya berlaku serangan udara.
Sementara itu, wartawan BBC Jackson Hinkle berkata: "Sebenarnya, sukar untuk melihat apa lagi yang boleh berlaku, memandangkan saiz letupan itu selain berpunca daripada serangan udara Israel atau beberapa serangan udara."
“Kerana apabila kita melihat roket ditembak keluar dari Gaza, kita tidak pernah melihat letupan sebesar itu. Kita mungkin melihat setengah dozen, mungkin beberapa orang lagi terbunuh dalam serangan roket sedemikian.
"Tetapi kami tidak pernah melihat apa-apa pada skala letupan seperti ini pada video yang saya tonton sebelum ini, yang masih perlu disahkan," tambahnya.
Dalam pada itu, CNN melaporkan bahawa Amerika Syarikat sedang menganalisis risikan yang disediakan oleh Israel mengenai letupan itu.
Ini termasuk perisikan semboyan, komunikasi yang dipintas dan bentuk data lain, lapornya.
Letupan di hospital itu mendapat kecaman meluas, termasuk daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang menyalahkan Israel dan menggesanya untuk "menamatkan kegilaan itu".
Pengerusi hak asasi manusia PBB Volker Turk berkata hospital adalah tempat suci dan menyeru agar pembunuhan dihentikan.
“Kata-kata mengecewakan saya. Malam ini, beratus-ratus orang terbunuh - secara mengerikan - dalam serangan besar-besaran... sasaran termasuk pesakit, pekerja penjagaan kesihatan dan keluarga yang mencari perlindungan di dalam dan sekitar hospital.
“Sekali lagi yang (terkena serangan adalah golongan yang) paling rentan,” tambahnya pada satu kenyataan, lapor CNN.
Uskup Agung Canterbury, Justin Welby (gambar, bawah) turut mengutuk kejadian itu.
“Ini satu kehilangan nyawa yang tidak berdosa yang mengerikan dan dahsyat. Hospital al-Ahli dikendalikan oleh gereja Anglikan.
"Saya berkabung dengan saudara-saudara kita - tolong doakan mereka.
“Saya sekali lagi menyeru rayuan saya agar orang awam dilindungi dalam perang yang dahsyat ini.
“Semoga Tuhan mengasihani,” tulisnya pada ciapan di X.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai