AGC masih teliti kes 3R Dr M, Hadi dan Muhyiddin
Lebih sebulan sudah berlalu sejak polis menyerahkan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) mengenai kes Dr Mahathir Mohamad, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Bagaimanapun, sejak itu tiada sebarang kemas kini berhubung dakwaan bahawa ketiga-tiga mereka telah menyentuh perkara berkaitan kaum, agama dan raja-raja (3R).
"Semua kertas siasatan telah diserahkan kepada AGC," kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain kepada Malaysiakini melalui pesanan teks ketika ditanya mengenai perkara itu.
Ini bagi memastikan sama ada timbalan pendakwa raya telah mengarahkan polis mengumpul maklumat atau bukti tambahan.
Apabila Malaysiakini menghubungi AGC untuk mendapatkan ulasan, sumber berkata perkara itu masih "sedang diteliti."
Sebelum ini, dilaporkan Mahathir disiasat berhubung dakwaan kenyataannya terhadap institusi diraja.
Dalam pada itu, Hadi disiasat mengikut Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia berhubung ucapannya di Johor pada 26 Ogos lalu.
Presiden PAS ketika berucap telah mempersoalkan Lembaga Pengampunan, mendakwa cara pemberian pengampunan tidak berdasarkan ajaran Islam.
Bulan lalu, Hadi, 75, berkata jika disabitkan bersalah, dia bersedia menjalani hukuman penjara dan bukannya membayar denda.
Dalam perkembangan berkaitan, polis telah membuka dua siasatan terhadap Muhyiddin berhubung kenyataannya semasa pilihan raya kecil Simpang Jeram dan Pulai di Johor baru-baru ini.
Ini selepas bekas perdana menteri memberitahu pengundi fatwa "haram" untuk memilih calon PH.
Kes disiasat oleh pasukan petugas khas polis mengenai 3R, mengikut seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Muhyiddin kemudiannya mendakwa ia hanya kiasan dan kenyataannya diambil di luar konteks.
Pada Julai lalu, polis turut membuka kertas siasatan terhadap Pengerusi DAP Lim Guan Eng kerana kenyataan yang didakwa menyentuh 3R. Dia kemudian mendakwa bahawa pihak tertentu telah "memutar belit" ucapannya itu.
Tiada perkembangan mengenai siasatan kes ini juga.
Setakat ini, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menjadi satu-satunya tokoh berprofil tinggi yang dihadapkan ke mahkamah dalam tempoh seminggu selepas membuat ucapan yang menyentuh 3R.
Dia menyampaikan ucapan itu pada 11 Julai dan didakwa mengikut Akta Hasutan pada 18 Julai.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai