Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PN kekal di Suka Menanti

Mahkamah Pilihan Raya menolak petisyen Pakatan Harapan (PH) untuk membatalkan kemenangan Perikatan Nasional (PN) di kerusi Suka Menanti semasa pilihan raya negeri Kedah pada 12 Ogos lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Alor Setar Quay Chew Soon membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan dua responden iaitu Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Dewan Negeri Suka Menanti dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap petisyen itu oleh calon PH Zamri Yusuf.

Ini sekali gus mengekalkan kemenangan calon Perikatan Nasional (PN) Dzowahir Ab Ghani di kerusi tersebut.

Ketika dihubungi, peguam persekutuan Sallehudin Md Ali, yang mewakili SPR mengesahkan keputusan prosiding melalui zoom itu.

Zamri Yusuf (tengah)

Bantahan awal itu adalah berhubung dakwaan SPR bahawa Zamri gagal memberikan butiran yang mencukupi tentang dakwaannya.

Petisyen pilihan raya itu difailkan pada 18 Sept lalu atas dakwaan terdapat keraguan, kesilapan dan kecatatan jumlah undi dalam 18 keping Borang 14 yang memberi kesan besar kepada keputusan PRN.

Zamri turut mendakwa SPR gagal mematuhi undang-undang pilihan raya, sekali gus menyebabkan kemenangan Dzowahir sebagai tidak sah.

Calon PH itu juga antara lain mendakwa bahawa kemenangan PN adalah tidak sah kerana SPR tidak membenarkan undi pos, dan ejen pilihan raya daripada memasuki pusat mengundi.

Quay yang bersetuju dengan bantahan SPR, berkata petisyen Zamri adalah cacat, dan mengarahkan pempetisyen membayar kos RM15,000.

Dzowahir memenangi kerusi Suka Menanti dengan 18,396 undi, manakala Zamri hanya mendapat 10,151 undi dalam pertandingan dua penjuru.

Selain Sallehudin, SPR turut diwakili peguam kanan persekutuan Ahmad Hanir Hambaly dan Nur Idayu Amir. Zamri pula diwakili oleh peguam Sofee Razak.