Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Syed Saddiq: Tambah RM600 bantuan tunai tak cukup tampung sara hidup

PARLIMEN | Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengeluh kerana kenaikan RM600 dalam Bantuan Tunai Rahmah (STR) digabungkan dengan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (Sara), seperti yang diumumkan semasa pembentangan Bajet 2024, adalah terlalu sedikit.

Walaupun menyokong pertimbangan kerajaan persekutuan melaksanakan pemberian tunai bagi pelaksanaan subsidi bersasar, Syed Saddiq menegaskan kenaikan RM600 itu tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup tinggi yang menekan golongan berpendapatan sederhana, yang membentuk majoriti rakyat Malaysia.

"Jika serious nak buat cash and out atau sumbangan tunai terus yang dicadangkan (Ahli Parlimen) Titiwangsa (Johari Abdul Ghani) yang saya sokong dan dokong jelas jumlah itu perlu lebih tinggi.

"Tak cukupi jika berikan RM600 tapi kos harga barang naik RM7,200 setahun dengan kos sara hidup yang tinggi yang menekan kelas menengah.

Ahli Parlimen Titiwangsa Johari Abdul Ghani.

"Bukan saya yang cakap perkara ini, tapi boleh tanya orang ramai, mereka tak panggil Madani, tapi mereka sebut mahal dah ni," kata Syed Saddiq ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam ucapan belanjawannya pada Jumaat (13 Okt), Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kuantum STR akan dinaikkan daripada RM3,100 kepada RM3,700 pada 2024.

Selain itu, Anwar berkata penerima STR juga akan mendapat peningkatan jumlah bantuan barangan keperluan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) sehingga RM1,200, dibahagikan kepada bayaran RM100 sebulan sepanjang tahun.

Walaupun ini pada mulanya ditafsirkan oleh sesetengah pihak sebagai dua kuantum berasingan, namun butiran belanjawan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan semalam mendedahkan bahawa jumlah bantuan STR untuk 2024 adalah sama seperti tahun ini.

Bagaimanapun, jumlah RM3,700 nampaknya dapat dicapai apabila pembayaran STR maksimum sebanyak RM2,500 digabungkan dengan bantuan Sara RM1,200 - dengan jumlah kedua hanya untuk golongan miskin dan miskin tegar.

Sementara itu, mengetengahkan langkah kerajaan mengapungkan harga keperluan asas terutamanya ayam, Syed Saddiq mencadangkan pengapungan harga perlu dilakukan secara berkala dan dalam tempoh lima tahun.

Sementara itu, mengetengahkan langkah kerajaan mengapungkan harga keperluan asas terutamanya ayam, Syed Saddiq mencadangkan pengapungan harga perlu dilakukan secara berkala dan dalam tempoh lima tahun.

Dia juga menegaskan bahawa Putrajaya juga harus menghantar isyarat jelas berkaitan langkah khusus ini.

"Setiap tahun, berapa yang akan ditingkatkan. Jangan sekadar katakan secara berkala tapi tak ada perincian.

“Saya ingin tanya apa perinciannya," soal Syed Saddiq.

Pada Jumaat, Anwar berkata kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mengapungkan harga barangan tersebut kerana bekalan sudah mula stabil dan harga pasaran semasa berada di bawah harga siling.

Skim subsidi itu telah dilaksanakan oleh pentadbiran bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaacob pada Februari 2022 untuk mengurangkan kesan kenaikan harga secara mendadak dan kekurangan bekalan.

Sementara itu, Syed Saddiq turut mengulangi rasa kesalnya terhadap kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) daripada enam peratus kepada lapan peratus.

Walaupun kadar SST baru tidak melibatkan industri makanan dan minuman serta telekomunikasi, industri yang terjejas termasuk logistik, pembrokeran, penajajaminan dan karaoke.

"Bagi sektor baru yang dikenakan 8 peratus ni, buat secara berfasa. Jangan terus kenakan kenaikan 8 peratus ni,” kata Syed Saddiq yang juga presiden Muda.

Selanjutnya, beliau juga menggesa pentadbiran Anwar menjelaskan strategi pengapungan harga dalam rancangannya untuk merasionalkan subsidi diesel.

Dia menegaskan pentingnya kerajaan memberikan penjelasan terperinci kerana ia memberi kesan kepada golongan berpendapatan sederhana.

"Persoalan saya dibuat, sampai hari ini tak ada perincian, apa strateginya jika nak diapungkan?

"Adakah kita akan terus naikkan following market price RM1.60 subsidi ditarik serta merta atau setiap tahun akan naik 20 sen ke 30 sen. Kita masih tunggu penjelasan.

"Jangan lupa golongan pemandu bas, van persendirian yang tak ada subsidi yang pergi kepada syarikat dan badan tengah ni.

"Jangan lupa Mak Cik Kiah yang tak akan dapat subsidi ini," kata Syed Saddiq.

Semasa membentangkan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 pada 10 Sept, Anwar berkata kerajaan persekutuan akan memperkenalkan subsidi bersasar untuk menyelaraskan semula semua jenis subsidi seperti elektrik, diesel dan petrol serta bantuan sosial lain.

Tegasnya, ini akan memastikan kumpulan sasaran yang betul mendapat manfaat daripada bantuan yang diberikan serta memastikan perbelanjaan fiskal yang berhemat.

Sehubungan itu, laporan semakan pertengahan penggal berkata repositori data sosioekonomi isi rumah yang dipanggil Pangkalan Data Utama (Padu) akan dibangunkan bagi memudahkan pengagihan subsidi dan bantuan yang lebih bersasar.