Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pesawat Maritim bantu padam kebakaran hutan di Kota Tinggi

Sebuah pesawat amfibia jenis Bombardier CL-415 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah diterbangkan ke lokasi kebakaran hutan di kawasan Bypass Sebana Cove - Punggai bagi membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaksanakan operasi memadam kebakaran di Kota Tinggi hari ini.

Bantuan diberikan setelah Unit Drone Bomba membuat pemantauan udara selama tiga hari kebakaran hutan terbabit dan mendapati keluasan kebakaran semakin merebak dari anggaran keluasan 2 hektar kepada 30 hektar.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, setelah menerima permohonan bantuan daripada Pejabat Daerah Kota Tinggi bagi memadamkan kebakaran terbabit, Maritim Malaysia mengatur gerak pesawat Bombardier CL-415 ke lokasi kejadian dan melakukan water bombing untuk memadamkan kebakaran.

Menurut Nurul Hizam lagi, pesawat terbabit mampu membawa sehingga 6 ribu liter air bagi setiap kali mengaut air.

"Bagi operasi pada hari ini, pesawat telah berjaya membuat 18 kali water bombing dan akan disambung pada esok hari sehingga keseluruhan kawasan kebakaran berjaya dipadamkan," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Nurul Hizam turun padang ke lokasi kejadian bagi melihat perkembangan semasa pemadaman hutan tersebut.

Turut hadir sama Pegawai Daerah Kota Tinggi, Hazlina Jalil.

Sementara itu, Nurul Hizam menasihati orang ramai supaya tidak memburukkan lagi keadaan dengan melakukan pembakaran terbuka khususnya berhampiran kawasan terbabit.

Terdahulu hutan di kawasan Bypass Sebana Cove - Punggai dilaporkan mengalami kebakaran pada petang kelmarin.

Pihak JBPM dari Sebana Cove, Sungai Rengit dan Kota Tinggi dengan keanggotaan 18 orang telah dikerahkan ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran tersebut.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor memaklumkan kebakaran hutan seluas lapan hektar itu telah dipadamkan 50 peratus.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sebana Cove Penolong Penguasa Bomba Mohd Khairul Sufian Dahari berkata kebakaran belukar itu dikesan berlaku pada pukul 2.57 petang, Ahad lepas dan operasi pemadaman melibatkan seramai 15 anggota dengan tiga jentera termasuk dari BBP Punggai dan Kota Tinggi.

"Setakat ini, kita telah berjaya memadam sebanyak 50 peratus kebakaran dengan menggunakan teknik dua aliran 300 kaki, dua breaching dan empat pancutan sumber air dari tangki air," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata bomba kini giat menjalankan operasi pemadaman selama 24 jam dengan strategi berbeza diaplikasikan bagi operasi pemadaman pada sebelah siang dan malam.