Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Saman SPRM: Firma guaman mohon persetujuan 1MDB dedah material sulit

Rosli Dahlan Saravana Partnership (RDS) telah menghantar surat kepada 1MDB bagi meminta persetujuan dana kekayaan Malaysia itu untuk mendedahkan material sulit dan terlindung.

Rakan kongsi firma guaman itu Palpanaban Devarajoo berkata demikian dalam afidavit sebagai jawapan kepada tindakan mahkamah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk meminta beberapa dokumen dalam siasatan ke atas penyelesaian yang dimeterai antara Goldman Sachs dan kerajaan Malaysia berhubung isu bon 1MDB bernilai AS$6.5 bilion.

"Firma tersebut telah, pada surat bertarikh 16 Okt 2023, menulis kepada bekas anak guam, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk memohon persetujuan dan autoriti untuk mendedahkan material sulit dan terlindung setakat mana yang sama adalah relevan dengan permohonan ini,” kata peguam itu dalam afidavit bertarikh 16 Okt.

Palpanaban berkata firma itu telah diberikan salinan kertas kausa oleh SPRM pada 13 Okt lalu sekitar jam 2.50 petang.

"Firma tersebut akan memfailkan maklumbalas substantifnya terhadap permohonan ini dalam masa terdekat selepas kaunsel mempunyai peluang untuk menasihati kami. Dengan itu, firma tersebut merizabkan semua hak kami," kata rakan kongsi firma guaman itu.

FMT semalam melaporkan SPRM memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lepas untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi memaksa RDS dan sebuah lagi firma guaman menyerahkan beberapa dokumen berkait siasatan penyelesaian antara Goldman Sachs dan kerajaan berhubung isu bon 1MDB .

Portal berita dalam talian itu melaporkan bahawa satu lagi firma guaman tersebut ialah Chetan Jethwani & Company.

Permohonan SPRM terhadap firma Chetan ditetapkan untuk sebutan di hadapan hakim Jamil Hussin semalam, manakala permohonan terhadap firma Rosli pula ditetapkan untuk sebutan di hadapan hakim K Muniandy hari ini.

Dalam afidavitnya, peguam Chetan Jethwani menyifatkan keseluruhan tindakan undang-undang itu sebagai percubaan SPRM untuk memintas keistimewaan hubungan peguam dan anak guam, sekali gus dilakukan dengan niat jahat dan untuk mendapatkan kelebihan tidak adil dalam pertikaian berterusan antara kerajaan dan Goldman Sachs.

Dua minggu lalu, SPRM dan pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) cuba menggeledah dan menyita dua firma guaman itu.

Dalam satu kenyataan media susulan insiden itu, Chetan berkata dia membantah tindakan itu atas alasan bahawa kelakuan pegawai SPRM dan LHDN adalah menyalahi undang-undang dan semberono, serta akan mengakibatkan pelanggaran keistimewaan profesional undang-undang.

Peguam itu berkata pegawai SPRM dan LHDN tidak mematuhi peruntukan undang-undang yang ditetapkan dalam Akta SPRM 2009 dan Akta Cukai Pendapatan 1967.