Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

MYAirline: Penumpang terjejas dibayar balik sebaik pelabur baru masuk

Syarikat penerbangan bajet MYAirline hanya akan dapat membayar balik penumpang yang terjejas akibat penggantungan operasinya sebaik sahaja pelabur baru masuk.

Eksekutif Interim MYAirline Azharuddin Abdul Rahman berkata syarikat itu kini dalam "peringkat akhir" untuk berunding dengan bakal pelabur.

"Jadi, ia hanya menunggu masa, dan apabila kami mendapat pembiayaan, maka proses pemulangan akan bermula," kata Azharuddin pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Azharuddin menegaskan bahawa dia "positif" syarikat penerbangan yang bermasalah itu boleh membayar balik penumpang, tetapi berkata dia tidak boleh memberikan garis masa.

MyAirline, juga katanya memohon maaf kepada semua penumpang dan agensi penerbangan yang terjejas akibat penggantungan operasi mereka yang tidak dijangka.

Menurut Azharuddin, setakat ini syarikat penerbangan tersebut menerima 18,000 e-mel berhubung perkara berkenaan.

"Pihak kami juga merekodkan 125,000 penumpang yang terjejas dan dianggarkan RM22 juta bayaran balik akan dilakukan.

"Penumpang akan dapat bayaran balik penuh namun orang ramai diminta bersabar kerana syarikat sedang dalam usaha untuk memproses permintaan berkenaan," katanya lagi.

Penumpang yang terjejas, kata Azharuddin lagi diminta menghubungi pihaknya di [email protected] untuk memulakan proses bayaran balik.

Selain itu, talian hotline di 03-8966 2522 beroperasi dari 7 pagi hingga 6 petang setiap hari bagi memudahkan proses pembayaran balik proses dan penyediaan bantuan, jelasnya.

Terdahulu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) menggantung lesen operasi MYAirline bermula hari ini.

Pihak berkuasa penerbangan itu berkata penggantungan Sijil Operator Udara (AOC) akan berkuat kuasa selama 90 hari, sementara menunggu siasatan lanjut CAAM.

[Baca berita asal]