Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Mahkamah Rayuan tangguh penghakiman permohonan Isa Samad batal sabitan

Mahkamah Rayuan menangguhkan penghakiman terhadap rayuan bekas pengerusi Felda Mohd Isa Abdul Samad untuk membatalkan sabitan serta hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta berhubung kes rasuah yang dikaitkan dengan pembelian sebuah hotel di Sarawak.

Panel rayuan tiga hakim yang dipengerusikan oleh Vazeer Alam Mydin Meera petang tadi memaklumkan peguam bela Sallehuddin Saidin dan timbalan pendakwa raya (DPP) Afzainizam Abdul Aziz bahawa pendaftar mahkamah akan memaklumkan kepada pihak-pihak terlibat mengenai tarikh keputusan itu.

Panel rayuan, juga terdiri daripada hakim ahli Ahmad Zaidi Ibrahim dan SM Komathy Suppiah, awal hari ini mendengar hujahan lisan pihak terlibat mengenai rayuan kes rasuah Isa yang dikaitkan dengan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB).

Pada 3 Feb 2021, hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan terhadap Isa.

Dalam mengeluarkan keputusan dan menjatuhkan hukuman bersalah, hakim berkata walaupun tertuduh mempunyai sumbangan kepada masyarakat, perlu ditegaskan bahawa rasuah adalah serius kerana ia mengancam pertumbuhan ekonomi serta kedaulatan undang-undang negara serta menafikan rakyat daripada menerima perkhidmatan yang cekap.

Nazlan memerintahkan Isa menjalani hukuman penjara tambahan 18 tahun jika gagal membayar jumlah denda.

Bagaimanapun, hakim membenarkan permohonan pembelaan untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda, sementara menunggu penyelesaian rayuan tertuduh ke Mahkamah Rayuan.

Hakim Nazlan dinaikkan ke Mahkamah Rayuan pada Februari tahun ini.

Isa kini dibebaskan dengan ikat jamin RM1.5 juta dan diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi supaya melaporkan diri di balai polis yang berhampiran dengan rumahnya pada hari pertama setiap bulan sehingga rayuan itu selesai.

Isa didakwa dengan sembilan pertuduhan secara tidak jujur menerima suapan untuk dirinya sendiri, secara tunai berjumlah RM3,090,000, daripada Ikhwan Zaidel, yang merupakan ahli lembaga pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, melalui seorang individu bernama Muhammad Zahid Md Arip.

Wang itu dikatakan sebagai suapan kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh FICSB dengan harga RM160 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Aras 49, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015.

Kesembilan pertuduhan itu, dirangka mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) undang-undang yang sama.

Pada mulanya didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Dis 2018, kesnya kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada April 2019

Semasa perbicaraan jenayah yang bermula pada 8 Okt 2019, pihak pendakwaan memanggil 15 orang untuk memberi keterangan terhadap tertuduh.

Pasukan pembelaan yang diketuai Sallehuddin bergantung kepada enam saksi untuk memberi keterangan bagi pihak Isa, yang menjadi menteri besar Negeri Sembilan selama 22 tahun dari 1982 hingga 2004.