Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Hamzah hairan PM tuding maha kaya, macam banyak salah

PARLIMEN | Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin menempelak Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menuding golongan maha kaya ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada Jumaat lalu.

"Perikatan Nasional bimbang dengan intonasi dan naratif Anwar dalam pembentangan Belanjawan 2024 yang memberikan gambaran negatif kepada golongan kaya.

"Saya hairan sudah acap kali Anwar melabelkan mereka sebagai golongan maha kaya yang seolah-olah melakukan banyak kesalahan.

"Apa salahnya kerajaan merangkul dan menggarap penyertaan semua pihak, termasuk golongan ahli perniagaan yang berjaya dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, terutamanya dalam usaha menarik pelaburan luar dan mencipta peluang pekerjaan kepada rakyat," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, beberapa ahli parlimen PN turut menyoal perdana menteri berhubung penggunaan naratif maha kaya ketika membentangkan belanjawan.

Anwar sebelum ini menyifatkan maha kaya sebagai golongan mendapat manfaat berlebihan dalam ekonomi negara khususnya menerusi sistem subsidi.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Rosol Wahid (gambar, bawah) berkata penggunaan naratif maha kaya memberi tanggapan negatif terhadap golongan kaya di negara ini.

"Dalam ucapan belanjawan menteri kewangan menggunakan naratif maha kaya, seolah-olah rakyat anggap maha kaya ini satu dosa di Malaysia.

"Dalam masa yang sama, kerajaan minta golongan maha kaya ini bantu rakyat. Ini mengelirukan," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Alor Setar Afnan Hamimi Taib Azamudden (gambar, bawah) berkata bahawa kerajaan perlu jelas berhubung ekonomi negara.

"Sebelum ini PM nak menoktahkan kemiskinan, makna menoktahkan kemiskinan orang itu akan ada pendapatan dan menjadi kaya.

"Jadi, PM nak kemiskinan pun nak menoktahkan maha kaya pun tak boleh.

"Sebenarnya kita nak capai apa? Miskin pun tak boleh kaya pun tak boleh," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pendang Awang Solahuddin Hashim berkata Belanjawan 2024 seolah-olah filem Tamil.

"Bajet ini macam filem Tamil. Hero hentam orang kaya, tapi dalam masa yang sama seolah-olah membela golongan orang susah.

"Tapi, dalam bajet ini daripada cukai perkhidmatan dinaikkan daripada enam peratus ke lapan peratus.

Gambar fail, MP Pendang Awang Solahuddin Hashim (tengah) diapit MP Arau Shahidan Kassim dan MP Tasek Gelugor Wan Saiful WanJan.

"Tambahan dua peratus ini kita nak tahu berapa unjuran, nak tahu berapa perolehan hasil daripada tambahan dua peratus ini.

"Dengan rantaian bekalan akan terus menekan rakyat, akhirnya rakyat yang perlu membayar semua cukai ini," katanya.

Terdahulu, Hamzah yang juga ahli parlimen Larut berkata kerajaan seharusnya memujuk ahli perniagaan berjaya atau golongan maha kaya itu untuk membahagikan kek ekonomi hasil mereka dengan adil.

"Bukannya mewujudkan perasaan tidak senang, antara pekerja dan syarikat.

"Walau bagaimanapun, PN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang memperoleh kekayaan hasil daripada kegiatan ekonomi gelap, seperti rasuah, judi, dadah, pelacuran dan mana-mana aktiviti yang tidak bermoral dan merugikan negara," katanya.