Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

KPT siasat dakwaan yuran perkhidmtan di UM naik hampir 50 peratus

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menjalankan siasatan lanjut mengenai dakwaan persatuan pelajar Universiti Malaya (UM) yang mengatakan pihak universiti menaikkan yuran perkhidmatan secara 'senyap-senyap'.

Menterinya, Mohamed Khaled Nordin berkata, setakat ini pihaknya belum menerima laporan lengkap berhubung dakwaan itu.

"Ya, ini semua perkara yang ada (berlaku) di universiti, benda- benda begini kadang-kadang universiti memang dia tak maklum atau merujuk kepada kementerian.

"Jadi itu yang kementerian kadang-kadang pun tak tahu, apa- apa pun kita akan menyiasat perkara ini," katanya dalam sidang media di Kuantan, Pahang.

Mohamed Khaled berkata demikian ketika diminta mengulas Persatuan Mahasiswa Progresif UM semalam yang menuntut penjelasan daripada pihak pentadbiran universiti itu yang didakwa menaikkan yuran perkhidmatan secara senyap tanpa sebarang notis dikeluarkan.

Presidennya, Nurul Afrina Rosli berkata, tindakan itu tidak wajar dilakukan secara tiba-tiba tanpa sebarang pemberitahuan.

Katanya, yuran perkhidmatan dikenakan kepada pelajar baru sesi akademik 2023/2024 sebanyak RM360, dengan kenaikan sebanyak RM119 atau 49.38 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Mohamed Khaled bagaimanapun menjelaskan perkara itu berlaku hanya di satu universiti sahaja dan pihaknya belum menerima aduan berkaitan isu sama di universiti lain.

Dia turut memberi jaminan perkara itu akan disiasat secara dalaman sebaik sahaja laporan diterima.

Terdahulu, Mohamed Khaled menghadiri Forum Bicara Madani anjuran Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah.

Ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2024 Jumaat lalu, dia menjelaskan bayaran RM1,500 adalah maksimum untuk yuran pendaftaran memasuki semua universiti awam.

"Ada universiti yuran pendaftaran tak sampai RM1,500 dan kalau lebih daripada jumlah ditetapkan itu, pelajar tetap boleh mendaftar kerana ada wang pendahuluan sebanyak RM1,500 dari PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional).

"Begitu juga pelajar yang mendaftar untuk sesi pengajian baharu, mereka boleh mendaftar masuk dan pembayaran yuran akan dibuat sepanjang tempoh pengajian.

"Jadi tidak timbul isu pelajar tidak boleh mendaftar atau sambung pengajian kerana tiada wang mencukupi dan perkara ini akan diuruskan bahagian hal ehwal pelajar universiti itu sendiri," katanya.