Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Bajet: Isu sumber manusia KKM tak ditangani dengan memuaskan - MMA

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mengalu-alukan peningkatan peruntukan yang ketara kepada Kementerian Kesihatan.

Bagaimanapun, MMA menyatakan kebimbangan mengenai aspek sumber manusia dalam sektor penjagaan kesihatan awam, yang menurut mereka tidak ditangani dengan memuaskan dalam Bajet 2024 yang baru dibentangkan.

“Kami gembira mendengar bahawa skim gaji dan elaun untuk kakitangan tetap yang sepatutnya merangkumi pekerja penjagaan kesihatan awam akhirnya akan dikaji semula selepas lebih 10 tahun.

“Secara keseluruhannya, terdapat beberapa inisiatif yang baik dimasukkan dalam bajet untuk kesihatan.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Azizan Abdul Aziz

"Bagaimanapun, kebimbangan utama kami ialah isu perancangan dan pembangunan sumber manusia, yang tidak ditangani dengan memuaskan dalam Bajet 2024," kata Presiden MMA Dr Azizan Abdul Aziz dalam satu kenyataan hari ini.

Dia berharap lebih banyak maklumat akan diberikan mengenai rancangan kerajaan untuk menyokong penubuhan Institut Kanser di Sarawak, kerana ia akan melibatkan perancangan sumber manusia jangka panjang dan membangunkan pakar juga.

Sementara itu, badan pemikir Galen Centre memuji peningkatan tertinggi dalam peruntukan untuk Kementerian Kesihatan dalam Belanjawan 2024.

Bagaimanapun, berkata tidak jelas bagaimana kerajaan berhasrat untuk menangani masalah pengambilan, mengekalkan dan mencegah penghijrahan pekerja penjagaan kesihatan mahir daripada sektor awam kepada sektor swasta.

Kedua-duanya juga optimis mengenai cadangan kenaikan duti eksais ke atas minuman manis gula kerana ini akan menghalang penggunaan gula yang tinggi.

Bagaimanapun, ini tidak mencukupi untuk menangani peningkatan jumlah rakyat Malaysia yang menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD).

Sebaliknya, mereka mencadangkan kerajaan harus menggalakkan lebih banyak campur tangan kesihatan pencegahan dan tingkah laku gaya hidup sihat.

Kedua-dua MMA dan Galen Centre juga gembira dengan pengembangan Skim Perubatan Madani, tetapi berharap ia akan diperluaskan lagi.

"Skim ini berpotensi mengubah keadaan, yang boleh mengurangkan kesesakan di klinik dan hospital kerajaan," kata Ketua Eksekutif Galen Centre Azrul Mohd Khalib dalam satu kenyataan hari ini.