Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Peruntukan naik bukti k'jaan jaga kebajikan Sabah, Sarawak - TPM

Belanjawan 2024 memperlihatkan tekad Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan agenda dan dasar yang memberi keutamaan kepada rakyat khususnya bagi menjaga kebajikan dan hal ehwal Sabah dan Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ia dibuktikan dengan peningkatan peruntukan kepada Sarawak dan Sabah, iaitu masing-masing RM5.8 bilion dan RM6.6 bilion.

“Yang lebih utama adalah kita kena fokus kepada pelaksanaan. Walaupun peruntukan ada tapi pelaksanaan tidak efisien, maka peruntukan itu tidak akan turun ke bawah, itu yang harus difokuskan dalam belanjawan ini yang melibatkan perkhidmatan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata demikian pada sidang media di lobi Parlimen selepas pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Menerusi belanjawan itu, peruntukan untuk pembangunan Sarawak meningkat kepada RM5.8 bilion berbanding RM5.6 bilion manakala bagi pembangunan Sabah meningkat kepada RM6.6 bilion berbanding RM6.5 bilion.

- Bernama