Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Lim: MYAirline perlu dihukum, pulang balik duit tiket penumpang

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng menggesa pengurusan dan pemegang saham syarikat penerbangan tambang murah MYAirline Sdn Bhd dikenakan tindakan tegas kerana didakwa "menipu" 125,000 penumpang yang mempunyai tiket penerbangan bernilai RM20 juta yang ditempah lebih awal sehingga Mac 2024.

Ini selepas Menteri Pengangkutan Anthony Loke semalam berkata dia terkejut berhubung pembatalan penerbangan dan penggantungan tiba-tiba operasi MYAirline.

"Penghentian operasi secara tiba-tiba tanpa sebarang sebarang jaminan pulangan bayaran tiket sebanyak RM20 juta kepada 125,000 penumpang bukan sahaja tidak bertanggungjawab seperti yang dimaklumkan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke, tetapi juga mungkin terdapat unsur jenayah," kata Lim pada satu kenyataan hari ini.

Dia menyoal sekiranya pihak pengurusan syarikat penerbangan itu menyembunyikan maklumat penting atau menipu pihak berkuasa dan pelanggan mereka.

"Pihak pengurusan telah melakukan jenayah apabila cuba menyembunyikan maklumat penting malah memperdayakan pihak berkuasa dan penumpang yang telah ke lapangan terbang hanya untuk mengetahui bahawa penerbangan mereka sudah tiada.

"Ramai penumpang berasa tertipu dan marah terutamanya 10,000 penumpang untuk 39 penerbangan yang sepatutnya telah berlepas semalam.

"Ia membawa kepada persoalan penting bagaimana MYAirline Sdn Bhd diberikan lesen operasinya oleh kerajaan terdahulu walhal syarikat tersebut memiliki latar belakang kewangan yang diragui?

"Kegagalan urus tadbir sebegini oleh kerajaan terdahulu telah mencemar reputasi antarabangsa Malaysia dalam industri penerbangan,” kata pengerusi kebangsaan DAP itu.

Lim menyoal jika sebarang usaha sewajarnya telah dilakukan oleh pihak berkuasa yang berkaitan memandangkan syarikat penerbangan tambang murah boleh tumbang hampir setahun selepas beroperasi.

"Keutamaan sekarang adalah untuk memastikan 125,000 penumpang terjejas mendapat pulangan sepenuhnya tiket penerbangan berjumlah RM20 juta.

"Walaupun kita yakin bahawa Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) akan melaksanakan siasatan terperinci, tindakan perlu diambil bukan sahaja ke atas syarikat tersebut tetapi juga mana-mana pegawai kerajaan yang mungkin telah bersubahat dengan pihak syarikat," kata Lim lagi.

Semalam, Loke berkata MYAirline telah memberi jaminan kepada Mavcom bahawa syarikat akan memberikan bayaran balik kepada penumpangnya.

Bagaimanapun, syarikat penerbangan itu masih belum mengeluarkan kenyataan umum mengenai perkara berkenaan.

Kata menteri pengangkutan lagi, Mavcom diarah membentuk pasukan petugas khas untuk bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia bertujuan memudahkan proses pembayaran balik bagi mereka yang membayar menggunakan kad kredit.

MYAirline pada satu kenyataan pada petang semalam menasihatkan penumpangnya supaya tidak terus ke lapangan terbang dan menggesa mereka yang memerlukan bantuan menghubungi syarikat itu di [email protected].

MYAirline berkata pihaknya sudah mencuba meneroka pelbagai penyelesaian, termasuk perkongsian dan pilihan penjanaan modal tetapi tidak berjaya.

Syarikat itu juga menjelaskan akan berusaha untuk menyambung semula operasi secepat mungkin tetapi tidak dapat memberi jaminan berhubung sebarang tempoh masa.