Fadhlina: Setiap kejayaan kecil reformasi bagi saya
Hampir setahun setelah berkhidmat sebagai Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berfalsafah mengenai perubahan yang ingin dilihatnya.
“Saya tahu harapan itu tinggi dan banyak orang mengeluh tetapi bagi saya setiap kemenangan kecil, setiap penambahbaikan adalah Reformasi.
“Bagi saya, kami sentiasa berada di landasan yang betul. Setiap hari adalah reformasi apabila kamu bercakap mengenai pendidikan. Satu pembaharuan nilai, struktur dan akses. Ketika kita menjadi pembangkang, kita sentiasa mengemukakan visi dan kini kita berada dalam kedudukan di mana kita boleh melakukannya,” katanya dalam satu wawancara eksklusif dengan Malaysiakini.
Kerjaya Fadhlina naik mendadak dari seorang peguam dan aktivis sepenuh masa kepada ahli politik lebih tiga tahun lalu. Tanpa dijangka dia dilantik sebagai senator di Dewan Negara dan kemudian memenangi pertandingan sengit bagi jawatan Ketua Wanita PKR.
Ini diikuti dengan kejayaannya memenangi kerusi parlimen Nibong Tebal pada PRU lalu dan seterusnya dilantik ke kerusi panas di Kementerian Pendidikan pada November lalu.
Di Dewan Rakyat, Fadhlina mempamerkan gaya seperti seorang guru dalam menangani soalan-soalan daripada ‘anak-anak muridnya’ yang sukar dikawal.
“Ia benar-benar satu cabaran yang berbeza, kerana kali terakhir saya memegang peranan berbeza di Dewan Negara, tetapi kini saya menghadapi tekanan sebagai menteri.
“Sebab ada banyak drama. Saya sentiasa berfikir - bagaimana seorang guru mengendalikan kelas mereka? Dengan latar belakang pelajar mereka yang berbeza. Ada yang agresif, ada yang suka bercakap, ada yang boleh menjadi biadab. Jadi saya cuba menanganinya dengan cara ini,” katanya.
Harapan rakyat
Setiap kali berlaku sesuatu isu dalam sistem pendidikan orang ramai mengharapkan menteri untuk menyelesaikan masalah berkenaan.
"Saya fikir, dalam setiap krisis sentiasa ada harapan. Ketika berlaku sesuatu, akan ada jangkaan yang menteri akan memberikan respons.
“Saya lihatnya begini, saya merasa sangat rendah diri apabila hal-hal ini terjadi dan semua orang mencari kita.
“Maknanya selama ini isu itu tidak mendapat perhatian dan rakyat menaruh harapan kepada kita untuk diselesaikan.
"Walaupun ini perkara yang perlu diselesaikan, kita juga perlu mengajar rakyat, supaya fokus menghormati proses kerja. Kita ajar rakyat buat aduan. Sebab sekarang kalau tak viral, tak jalan," katanya.
Fadhlina berkata, dia mahu pemimpin dan rakyat berkomunikasi melalui proses yang telus.
"Ada proses aduan. Perkara yang paling penting adalah kepercayaan. Kita perlu menangani defisit kepercayaan ini. Jika timbul isu-isu yang boleh dilihat sebagai remeh di mata kita, kita harus menerima bahawa perkara dibangkitkan itu tidak remeh di mata rakyat," katanya.
Fadhlina menambah bahawa kementeriannya memberi tumpuan kepada hasil kerja supaya ia dapat dipertanggungjawabkan kepada rakyat.
"Mungkin kerana latar belakang undang-undang saya. Kita tidak pernah ambil mudah. Apa isu yang meletus sehingga sampai kepada kita? Kita kena empati dengan isu rakyat.
BACA WAWANCARA BERKAITAN:
Bahagian 1: Menteri: Peruntukan untuk tandas sekolah dipantau elak 'bocor'
Bahagian 2: Fadhlina tegas noktahkan buli, gangguan seksual
Bahagian 3: Fadhlina: KPM akan lancar pusat kanak-kanak tanpa kerakyatan di Sabah
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai