Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Projek ECRL: Hilman gesa k'jaan Selangor adakan sesi libat urus

Kerajaan Negeri Selangor digesa mengadakan sesi libat urus bersama-sama penduduk Gombak Utara berhubung pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Adun Gombak Setia Hilman Idham mendakwa kerajaan negeri sehingga hari ini tidak mengadakan sebarang sesi libat urus bersama penduduk di kawasan itu walaupun kerja-kerja pembinaan semakin rancak.

"Salah satu isu utama di sini adalah hampir keseluruhan penduduk di sini masih tidak pasti sama ada rumah, tanah mahu pun premis mereka terkesan dengan projek ini. Ada penghuni mendapati rumah mereka tiba-tiba dipangkah tanpa sebarang notis.

"Penduduk masih tidak tahu di mana kawasan-kawasan yang terlibat, di mana tempat yang terlibat, dan di mana mereka sepatutnya melaksanakan projek tersebut.

"Yang menjadikan kegusaran kita mengapa sehingga hari ini tidak ada satu sesi libat urus yang benar-benar mencerminkan kelulusan-kelulusan yang diberikan oleh kerajaan negeri bersama penduduk dan pemaju," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, beberapa penduduk daripada 16 kampung di sekitar Gombak Utara yang ditemui Malaysiakini memberitahu mereka setiasa berjaga-jaga sejak projek pembinaan ini dimulakan.

Penduduk kampung tempatan, ketika ditemui menyuarakan kebimbangan bahawa mereka kini hidup dalam ketakutan.

Mereka mendakwa pembinaan projek kereta api mega yang merentangi Semenanjung Malaysia telah mengakibatkan banjir kilat serta merosakkan premis dan kediaman.

Menurut Hilman, penduduk di sini tidak membantah projek ECRL.

"Tapi, bagi mereka pembangunan itu mestilah merupakan pembangunan berkualiti yang dapat menjamin kelestarian, kesinambungan dan kehidupan rakyat.

"Justeru, hari ini kita berasa kesal apa yang berlaku pada hari ini ianya seolah-olah kerajaan negeri melepaskan tanggungjawab.

"Kerajaan negeri sepatutnya menjadi perantara di antara rakyat dan pemilik, kontraktor projek ini," katanya.

Malaysiakini telah menghubungi kerajaan negeri untuk mendapatkan maklum balas berhubung dakwaan ini.

Sementara itu, Hilman menyoal kerajaan negeri berhubung dakwaan kekeliruan yang berlaku dalam kerja-kerja pembinaan projek.

"Kerja-kerja pembinaan telah dimulakan lebih sebulan yang lalu. Tapi, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) hanya memberi kelulusan pada 6 Oktober tahun ini.

"Saya hairan MPS boleh memberi kelulusan pada 6 Okt secara 'fast track', sedangkan mesyuarat MPS berhubung projek ini hanya diadakan pada 3 Okt.

"Mesyuarat ini langsung tidak mempedulikan aduan penduduk di sini. Bagaimana, MPS boleh memberikan kelulusan kepada projek mega sebesar ini dalam masa tiga hari sedangkan cadangan pembinaan surau dan masjid di kawasan ini mengambil tempoh berbulan-bulan malah bertahun-tahun," dakwanya.

Dia juga meminta kerajaan negeri menjelaskan bagaimana kerja-kerja pembinaan dimulakan lebih awal padahal MPS hanya memberi kelulusan pada 6 Okt.

"Saya harap kerajaan negeri segera mengaturkan satu sesi libat urus semua pihak agar menjawab semua soalan yang dibangkit oleh penduduk di sini," katanya.

Terdahulu, pasukan projek ECRL melalui kenyataan bertulis kepada Malaysiakini menolak dakwaan MRL dan CCC-ECRL tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan dengan penduduk kampung untuk menjelaskan projek itu kepada mereka.

Ia menegaskan beberapa sesi libat urus projek ECRL telah dijalankan sejak awal tahun ini bersama penduduk dan pemilik tanah di Gombak Utara.

“Terbaru melibatkan ‘Majlis Ramah Mesra Dan Dialog’ oleh pasukan Projek ECRL di Dewan Orang Ramai Batu 9 pada 30 September lalu, yang antara lainnya turut dihadiri wakil daripada Majlis Perbandaran Selayang dan Pejabat Penghulu.

“Pasukan Projek ECRL juga telah mengambil langkah proaktif untuk melibatkan dan memberi taklimat kepada ketua kampung yang berkaitan bagi memastikan mereka mengetahui penjajaran dan kerja-kerja ECRL yang sedang dijalankan.

“Tambahan pula, terdapat papan tanda maklumat dan talian hotline di tapak pembinaan bagi membolehkan penduduk atau pemilik tanah menghubungi dan mendapatkan maklumat,” katanya lagi.