Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Bekas tentera didakwa bunuh isteri

Seorang bekas tentera didakwa di Mahkamah Majistret di Kangar hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya yang juga seorang jururawat, akhir September lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Indera Zailan Mohamad Sani, 38, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Nor Haliza Md Ali kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh didakwa membunuh Munirah Abu Bakar, 31, di sebuah rumah di Jalan Padang Nyu, Arau, antara 10 malam, 29 Sept hingga 6.55 pagi, 30 Sept lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun tetapi maksimum 40 tahun dan hukuman tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Asyraf Md Kamal dan Mohd Izham Ali manakala Indera Zailan diwakili peguam Hari Prassaad Rao.

Mahkamah menetapkan 17 Nov depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat serta urusan lain berkaitan.

Pada 30 Sept lepas, polis menahan seorang lelaki disyaki menikam mati isterinya dengan sebilah pisau di kediaman pasangan itu di Jalan Padang Nyu.

Ketua Polis Daerah Arau Supt Ahmad Mohsin Md Rodi dipetik sebagai berkata mayat wanita itu ditemukan di bilik tidur kediaman tersebut dan ditutupi dengan selimut tebal selepas suspek tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis.

- Bernama