Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

‘Kambing dan pasir silika’ - Adun Sabah buat laporan polis terhadap Hajiji

Dua Adun Sabah telah memfailkan laporan polis terhadap Ketua Menteri Hajiji Noor berhubung dakwaan berkaitan isu tanah di Kudat.

Dalam catatan Facebook, Adun Sekong Alias Sani berkata dia membuat laporan itu bersama Adun Elopura Calvin Chong.

Ahli politik Warisan itu berkata laporan tersebut berkaitan isu “kambing dan pasir silika di Pulau Balambangan” tanpa menyebut butirannya.

Ini dipercayai merujuk kepada dakwaan yang tular di media sosial yang menuduh ketua menteri itu menyalahgunakan kuasa dalam urusan kelulusan tanah.

"Tujuan kami membuat laporan polis adalah untuk meminta pihak berkuasa membuat siasatan teliti jika ada unsur salah guna kuasa, kewujudan konspirasi dan menyiasat integriti Ketua Menteri dalam isu ini demi kepentingan rakyat Sabah yang kami cintai.

"Kami berdiri sebagai rakyat dan Wakil Rakyat dalam menjaga integriti harta warisan rakyat Sabah, sebagai pengimbang bagi mengelak kecurangan amanah/kuasa diberikan kepada ketua menteri dan mencegah rasuah daripada berlaku yang akan menyebabkan kerugian ditanggung oleh rakyat Sabah pada masa akan datang,” katanya.

Semalam, Pemuda Warisan memfailkan laporan kepada SPRM mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, Hajiji menafikan dakwaan itu yang tersebar di Facebook dan mendakwa ia bertujuan mencemarkan reputasinya.

PGRS lapor polis juga

"Saya juga akan mengarahkan peguam untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap dakwaan palsu ini," katanya.

Ketua menteri itu juga mengarahkan siasatan berhubung kebocoran dokumen sulit yang turut tersebar.

"Siasatan akan dibuat dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pegawai yang mendedahkan dokumen rahsia digunakan untuk membuat dakwaan terbabit," katanya.

Hantaran di media sosial itu mendakwa terdapat salah laku dalam kelulusan enam permohonan tanah melibatkan keluasan 968.4 hektar.

Hajiji berkata semua permohonan itu telah melalui prosedur yang diperlukan melalui mesyuarat Jawatankuasa Penggunaan Tanah (LUC) dan diproses di pejabat.

"Permohonan membabitkan tanah Yayasan Sabah sudah dirujuk kepada Lembaga Pengarah Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB) dan semuanya dibuat mengikut undang-undang," katanya.

Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) itu berkata permohonan tanah Yayasan Sabah telah dirujuk kepada lembaga pengarah Innoprise Corporation Sdn Bhd dan semua tindakan dilakukan mengikut undang-undang.

Sementara itu, Ketua Penerangan PGRS Nizam Abu Bakar membuat laporan polis terhadap dakwaan berkenaan.

Bertentangan dengan hantaran Facebook itu, Nizam berkata permohonan tanah tersebut diproses mengikut prosedur dan undang-undang sedia ada, tanpa hak milik tanah dikeluarkan untuk permohonan itu.

Mengulas isu sama, Nizam menunjukkan bagaimana hantaran di media sosial itu telah membayangkan Hajiji dikaitkan dengan seorang ahli perniagaan berkaitan dengan perjanjian tanah tersebut.

Dia juga mendakwa ahli perniagaan yang sama juga pernah dilihat dalam pertemuan dengan presiden Warisan dan bekas ketua menteri Sabah Mohd Shafie Apdal.