Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Krisis iklim: El Nino dijangka lebih ekstrem - Nik Nazmi

Fenomena El Nino dijangka menjadi lebih ekstrem dengan peningkatan suhu dan pengurangan jumlah taburan hujan di seluruh negara pada tahun ini, susulan faktor pemanasan global yang dihadapi dunia pada masa ini.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata lazimnya El Nino yang berintensiti kuat akan memberi impak signifikan terhadap corak cuaca negara terutamanya ketika fasa akhir Monsun Timur Laut dan musim selepasnya.

Beliau berkata fenomena sedemikian dapat dilihat seperti yang pernah berlaku pada 1997 hingga 1998 dan 2015 hingga 2016.

“Bagi menghadapi fenomena El Nino ini, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) bersiap siaga lebih awal iaitu saya mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Bil.1 Tahun 2023 pada 26 Mei 2023 dan Bil. 2 pada 12 Sept 2023.

“Mesyuarat ini diadakan bertujuan untuk melaporkan status terkini keadaan cuaca, tinjauan cuaca, status kualiti udara, merancang tindakan dan strategi bagi mencegah pembakaran terbuka serta jerebu setempat di samping mengatur persediaan menghadapi kemungkinan berlakunya jerebu merentas sempadan,” katanya.

Nik Nazmi berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Forum Iklim Kebangsaan 2023 ‘Waspada El Nino Hadapi Monsun Timur Laut’ menerusi Facebook Live Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), hari ini.

Selain itu, beliau berkata beberapa langkah proaktif turut dilaksanakan antaranya pengaktifan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) dan memperkasa pemantauan komuniti melalui Program Pasukan Pemantau Pencemaran (3P).

Dalam perkembangan lain, beliau berkata MetMalaysia juga membangunkan sistem ramalan awal bagi memantau kemungkinan berlakunya kebakaran hutan dan tanah gambut dalam negara dikenali sebagai Sistem Risiko Bahaya Kebakaran (FDRS).

Menurutnya, sistem itu ditambah baik dengan keupayaan untuk menyediakan maklumat ramalan sehingga tujuh hari ke hadapan berserta capaian kepada Web Map Service (WMS) yang membolehkan sistem berkenaan bersifat interaktif dan mesra pengguna.

“Saya amat percaya dan yakin, MetMalaysia sentiasa komited dan peka dalam meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana cuaca ekstrem dan banjir mahupun cuaca panas.

“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), melalui Projek Menaik Taraf Stesen Pencerapan Cuaca Permukaan, sebanyak 100 stesen pencerapan cuaca konvensional akan dinaik taraf kepada stesen meteorologi auksiliari automatik yang berteknologi tinggi,” katanya.

Nik Nazmi berkata projek sedemikian mampu mengoptimumkan keupayaan sistem rangkaian cuaca sedia ada dan meningkatkan perkhidmatan pemantauan cuaca berterusan, ramalan cuaca semasa serta penyampaian amaran cuaca buruk kepada masyarakat.

Mengenai forum pada hari ini, beliau berkata ia juga antara inisiatif dalam mempertingkatkan program komunikasi dan kesedaran awam yang melibatkan penyertaan komuniti sebagai tindakan pencegahan.

Forum itu disertai tiga ahli panel iaitu Pengarah Kanan Pusat Instrumentasi Meteorologi dan Sains Atmosfera MetMalaysia Ambun Dindang, Pengarah Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Dr Norlida Mohd Dom dan Pengarah Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Nazaruddin Sharaai.

Program berlangsung lebih dua jam itu dikendalikan Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) MetMalaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip selaku moderator.

- Bernama