Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

KPB Sandakan ambil sampel didakwa beras plastik

Pejabat Kawal Selia Padi dan Beras (KPB) Sandakan hari ini telah mengambil sampel daripada satu jenama beras yang didakwa membungkus beras plastik untuk dijual kepada pengguna, bagi tujuan analisis oleh Jabatan Kimia.

Ketuanya Mohamad Saiful Nizam Adnan berkata tindakan itu diambil susulan video yang tular di media sosial mendakwa beras yang dibungkus dan dipasarkan di sini tidak berisi beras tulen.

Beliau berkata peruncit dan pembekal jenama berkenaan telah tampil ke pejabat KPB Sandakan membuat aduan secara rasmi berkaitan komen negatif dan kerisauan pengguna.

"Pihak KPB sama sekali menangkis dakwaan terdapat beras plastik di dalam negara ini secara amnya dan khususnya di Sandakan.

“Setiap kemasukan beras import di pelabuhan, Bernas (Padiberas Nasional Berhad) akan membuat ujian makmal terlebih dahulu bagi memeriksa keselamatan beras serta sijil keselamatan yang perlu dikemukakan oleh negara pengeksport," katanya kepada pemberita selepas memeriksa bekalan beras di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin dalam kenyataan berkata pihaknya tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menimbulkan kegusaran orang awam terhadap isu keselamatan makanan negara.

Oleh itu, beliau berkata orang awam dinasihatkan untuk tampil membuat aduan secara rasmi ke kementerian itu jika terdapat masalah berkaitan beras dan tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu atau tiada asas kukuh di media sosial.

- Bernama