Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Peguam Najib jalankan pemeriksaan balas pada pakar BNM esok

Peguam Najib Razak dijangka menjalankan pemeriksaan balas terhadap pakar jejak pengubahan wang haram Bank Negara Malaysia (BNM) esok.

Peguam bekas perdana menteri, Tania Schivetti memaklumkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini, berikutan penganalisis jejak wang BNM Adam Ariff Mohd Roslan telah melengkapkan keterangannya.

Hakim Collin Lawrence Sequerah, yang mempengerusikan perbicaraan rasuah 1MDB bernilai RM2.28 bilion terhadap bekas menteri kewangan Najib, bertanya kepada Scivetti sama ada Shafee akan hadir semasa perbicaraan esok.

Terdahulu semasa perbicaraan hari ini, Scivetti memaklumkan mahkamah jenayah bahawa Shafee tidak dapat menghadiri prosiding hari ini kerana dia tidak sihat dan sedang bercuti.

Sequerah: Adakah Shafee bersedia untuk pemeriksaan balas (Adam) esok?

Scivetti: Shafee tersedia untuk pemeriksaan balas esok.

Shafee sebelum ini memaklumkan mahkamah jenayah bahawa pasukan pembelaan Najib akan membangkitkan antara lain isu sama ada Adam yang berusia 29 tahun itu layak menjadi pakar dalam hal kewangan.

Dalam tempoh enam hari di kandang saksi termasuk hari ini, Adam memberi keterangan mengenai jejak kewangan antarabangsa yang rumit dan berbelit yang didakwa melibatkan RM2.28 bilion dana 1MDB yang berakhir dalam akaun peribadi Najib sepanjang empat fasa dari 2011 hingga 2014.

Keterangan Adam menjelaskan secara terperinci tentang pecahan transaksi tersebut, antaranya; seorang ‘Putera Faisal’ dari Arab Saudi memindahkan AS$20 juta (RM60.6 juta pada masa itu) pada 2011; syarikat Blackstone Asia Real Estate Partners memindahkan AS$30 juta (RM90 juta pada kadar tukaran wang ketika itu ditolak yuran pemindahan perbankan ketika itu) pada 2012; dan Tanore Finance Corporation memindahkan AS$681 juta (RM2 bilion pada masa itu) ke dalam akaun tertuduh pada 2013, dan Blackrock Commodities (Global) Ltd dan Vista Equity International Partners Ltd (Barbados) memindahkan sejumlah RM49 juta ke dalam akaun Najib pada 2014.

Dalam kenyataan pembukaan pendakwa raya pada permulaan perbicaraan pada 2019, mereka berhujah bahawa Tanore, Blackstone, Vista dan Blackrock dimiliki oleh Eric Tan, yang didakwa sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low), dan bahawa Low didakwa merupakan 'alter ego and mirror image' Najib.

Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion daripada 1MDB, sebuah dana kekayaan negara yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, tertuduh dikatakan melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.