Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Isu Palestin: Media M'sia jangan terikut lenggok media barat - Kaukus Parlimen

PARLIMEN | Kaukus Palestin Parlimen Malaysia menyeru media tempatan untuk tidak terikut membawa naratif berat sebelah media barat dan media luar dalam melaporkan perkembangan krisis di Gaza ketika ini.

Ketua Kaukus Palestin Parlimen Malaysia, Syed Ibrahim Syed Noh berkata pihaknya mengikuti rapat perkembangan terkait keadaan keselamatan dan keamanan di Semenanjung Gaza, Palestin yang memperlihatkan angka korban yang semakin meningkat.

“Angka korban dari kedua pihak, rakyat Palestin dan pendatang Israel semakin meningkat. Kadar kerosakan harta benda awam juga meningkat.

“Penegasan wajar dinyatakan dalam krisis ini bahawa ia adalah tindak balas terhadap rantaian keganasan, kekejaman dan jenayah apartid rejim Israel yang melanggar undang-undang dan hak kemanusian, termasuk mencemar kesucian Masjid Al-Aqsa secara berterusan,” katanya pada sidang media di parlimen, hari ini.

Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata pihaknya menuntut agar masyarakat antarabangsa yang bertanggungjawab mengambil langkah segera mengatasi krisis ini.

“Tekanan mesti dizahirkan kepada rejim Israel supaya mereka menghentikan segala kegiatan yang melanggar undang-undang dan hak kemanusiaan, menghormati hak kedaulatan rakyat Palestin di bumi mereka sendiri, tidak menjadikan situasi sekarang sebagai alasan untuk tindakan khianat mencetus pergolakan di Palestin dan meraih sokongan negara lain melalui hubungan normalisasi,’ katanya.

Israel dihujani serangan roket yang tidak pernah berlaku sebelum ini dari Semenanjung Gaza pada pagi Sabtu.

Tentera Israel mendakwa Hamas melancarkan lebih 3,000 roket, sambil menambah berpuluh-puluh tentera Hamas menyusup ke kawasan sempadan di selatan Israel.

Israel pula melancarkan serangan balas roket ke Semenanjung Gaza.

Sehingga 9 malam semalam, 123,538 rakyat Palestin telah dipindahkan di Gaza.

Selain itu, Syed Ibrahim berkata kaukus juga ingin menggalakkan seluruh pihak terutamanya kumpulan masyarakat dan pertubuhan awam di Malaysia, termasuk masyarakat antarabangsa menggerakkan sebarang bantuan kemanusian dengan segera sebaik keadaan mengizinkan.

“Kaukus Palestin Parlimen Malaysia akan terus meneliti perkembangan krisis ini dan melihat ruang untuk sebarang usaha mengangkat isu ini ke perhatian pihak sewajarnya,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan pendirian Malaysia menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) agar mengambil tindakan segera untuk meminta semua pihak menghentikan segala tindakan keganasan dan pertempuran di Semenanjung Gaza ketika ini.

Ahmad Zahid berkata rakyat Palestin perlu dikembalikan hak mutlak bebas daripada pendudukan haram Israel, hak dikembalikan tanah yang dirampas oleh Israel dan hak membentuk sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.