Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

China seru Israel-Palestin bertenang, elak situasi memburuk

GLOBAL | China menyeru agar pihak-pihak terlibat dalam konflik antara Israel dan Palestin kekal bertenang bagi mengelakkan situasi bertambah buruk.

Seruan itu dibuat Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Zhang Jun, dalam satu sesi tergempar Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengenai krisis di Asia Barat itu pada Ahad.

Zhang berkata China amat bimbang terhadap pertempuran di Gaza serta situasi yang makin meruncing di kawasan berkenaan.

"Kami (China) mengutuk tindakan ganas dan serangan ke atas orang awam dan semua pihak yang berkonflik harus bersabar ke arah mencapai persetujuan gencatan senjata.

"Pihak terbabit perlu mematuhi kewajipan mereka mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan jangan melakukan serangan atau pemusnahan menyasar rakyat jelata dan kemudahan awam," kata beliau.

Duta China itu berkata keadaan ketika ini amat rapuh dan China menyokong PBB, serta negara berkenaan menjadi orang tengah bagi meredakan ketegangan.

"Kami berharap UNSC sentiasa bersedia mengambil tindakan yang diperlukan untuk menggalakkan dialog, mencapai gencatan senjata dan memulihkan perdamaian," kata Zhang.

Beliau berkata proses perdamaian Asia Barat yang menyimpang daripada landasan merupakan punca utama berulangnya krisis Palestin-Israel.

"Masyarakat antarabangsa dan pihak terbabit harus bersinergi mengendalikan krisis kali ini dan melakukan segala usaha untuk memajukan 'penyelesaian dua negara'," kata Zhang.

- Bernama-CMG