Pisah AG-pendakwa raya: K'jaan serius, kemajuan dicapai - Azalina
PARLIMEN | Pasukan petugas khas yang menjalankan analisis perbandingan sembilan negara mengenai pengasingan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya akan membentangkan kajiannya pada Rabu ini.
Menteri Undang-undang dan Pembaharuan Institusi Azalina Said memberitahu Dewan Rakyat bahawa dia sendiri akan mempengerusikan mesyuarat itu.
"Daripada sembilan negara yang sedang dikaji, tujuh negara yang mempunyai pendakwa raya yang berasingan iaitu England & Wales, Canada, Australia, Ireland, Kenya, Afrika Selatan dan India.
"Sementara itu, Amerika Syarikat dan New Zealand masih mengekalkan peguam negara sebagai pendakwa raya," katanya hari ini.
Ini merupakan maklumat terkini kerajaan mengenai kemajuan ke arah memisahkan peranan pendakwa raya daripada peguam negara, yang telah diputuskan oleh kabinet pada 16 Ogos lalu.
Dua pasukan petugas telah dibentuk berikutan keputusan jemaah menteri itu.
Pun begitu, Azalina mengingatkan England dan Wales mengambil masa lapan tahun untuk proses itu selesai manakala Kenya mengambil masa empat tahun selepas pilihan raya mereka pada 2007.
"Setiap negara ini telah mengambil tempoh masa yang tertentu dalam melaksanakan model pengasingan yang bersesuaian dengan konteks Negara masing-masing," jelasnya.
Selepas pasukan petugas analisis perbandingan menyelesaikan tugas mereka, pasukan petugas kedua mengenai hal ehwal teknikal - perundangan, sumber manusia dan kewangan - akan memulakan fasa dua proses itu.
Azalina berkata pada peringkat ini, Perlembagaan Persekutuan dan 19 undang-undang lain perlu dipinda untuk membolehkan proses pemisahan.
"Implikasi kewangan yang terlibat bagi melaksanakan inisiatif ini adalah tertakluk kepada model yang akan dikenalpasti berdasarkan dengan izin evidence-based research yang saya nyatakan sebentar tadi.
"Ini meliputi kos bagi perjawatan sedia ada, perjawatan baharu, fasiliti (bangunan/senggara/utiliti), aset (kenderaan), perpustakaan dan teknologi maklumat.
"Oleh yang demikian, adalah dengan izin premature untuk menentukan implikasi kewangan yang spesifik pada peringkat ini.
"Namun demikian, ini tidak akan menjadi satu kekangan bagi Kerajaan Perpaduan Madani untuk melaksanakan usaha reformasi ini," katanya.
Fasa terakhir, katanya, melibatkan penglibatan Sabah dan Sarawak, agensi penguatkuasaan dan kumpulan yang mewakili peguam.
"Oleh itu inisiatif-inisiatif ini secara jelas menggambarkan Kerajuan Perpaduan Madani sedang mengorak langkah yang serius secara progresif dan proaktif bagi memastikan usaha pengasingan peranan peguam negara dan pendakwa raya ini dapat dilaksanakan dengan jayanya dengan mengambil kira semua aspek secara menyeluruh.
"Justeru, saya menyeru semua pihak memberikan sokongan sepenuhnya kepada Kerajaan hari ini, yang merupakan Kerajaan pertama yang sedang bergerak ke arah merealisasikan agenda reformasi yang amat bersejarah ini," katanya lagi.
Azalina menjawab soalan yang dikemukakan oleh Takiyuddin Hassan (PN - Kota Bharu), Gobind Singh Deo (PH - Damansara) dan Wee Ka Siong (BN - Ayer Hitam).
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai