Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Jalan raya baru Karak-Simpang Pelangai antara tawaran Amizar

PRK PELANGAI: Sehari menjelang hari pengundian, calon BN, Amizar Abu Adam melancarkan manifesto Ikhtiar Pelangai: Tekad Amizar kepada lebih 16,000 pengundi di DUN Pelangai.

Empat asas utama dalam manifesto yang dikemukakan Amizar sebagai tawaran sekiranya dia dipilih sebagai Adun Pelangai esok.

Ia merangkumi ikhtiar pembangunan, pendidikan, kebajikan serta ekonomi.

"Mungkin ada pihak-pihak lain juga ada menawarkan seperti saya tawarkan ini.

"Namun, saya ingin tegaskan bahawa semua ikhtiar ini dapat direalisasikan jika tuan-tuan dan puan-puan memberikan peluang kepada parti yang memimpin kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sebagai wakil di DUN Pelangai.

"Berilah saya peluang untuk membuktikan kemampuan saya dalam menjadi wakil rakyat di DUN Pelangai," katanya ketika melancarkan manifesto yang disiarkan di Facebooknya, petang ini.

Bagi sektor pembangunan Amizar menawarkan jalan raya baru yang menghubungkan antara Karak ke Simpang Pelangai, stesen minyak di Simpang Pelangai, bank serta mewujudkan rumah prima Pahang.

Untuk sektor pendidikan pula, Amizar akan memastikan pembabitan lebih ramai anak muda dalam program TVET, menaiktaraf kemudahan perpustakaan serta pendidikan orang asli.

Sementara itu, untuk kebajikan pula, Amizar menawarkan bantuan kepada orang ramai bagi tujuan pendidikan untuk semua peringkat serta pusat hemodialisis serta klinik kesihatan swasta.

Dalam sektor ekonomi pula, Amizar berhasrat untuk menjadikan Pelangai sebagai "gateway" kepada Pahang bagi pintu masuk Pahang-Negeri Sembilan.

Selain ingin mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan serta mengangkat ekonomi tempatan.

"Saya juga akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan dalam bidang pelancongan ataupun 'agrotourism' untuk menambah pendapatan penduduk.

"Melalui usaha yang dirancang ini saya juga akan merancakkan pemasaran produk tempatan dan juga hasil kampung," katanya lagi.