Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Suhu global Sept mencanak, catat rekod baru - Saintis

GLOBAL | Suhu global melonjak ke rekod baru pada bulan September lalu dengan margin yang besar mengejutkan para saintis.

Pelepasan karbon yang mendorong krisis iklim dan ketibaan pantas peristiwa El Niño menjadi puncanya, kata penyelidik.

Timbalan Pengarah Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus (C3S) Dr Samantha Burgess berkata suhu global bumi pada September telah memecahkan rekod dengan jumlah kenaikan yang luar biasa.

"Suhu yang tidak pernah berlaku sebelum ini untuk tempoh yang diperhatikan pada bulan September (sejak 1940)," katanya pada hantaran di X.

Pakar iklim dalam projek data badan alam sekitar Berkeley Earth, Zeke Hausfather memetik perangkaan daripada saintis Eropah mengesahkan lonjakan itu.

"Data suhu global pertama untuk bulan penuh September telah keluar.

"Bulan ini, pada pendapat profesional saya sebagai saintis iklim - benar-benar mengejutkan," katanya pada hantaran di X.

September menjadi bulan paling panas dalam rekod sejarah diikuti bulan Ogos dan Julai.

Suhu yang tinggi telah menyebabkan gelombang haba dan kebakaran hutan di seluruh dunia.

September 2023 mengatasi rekod untuk bulan itu pada tahun sebelumnya sebanyak 0.5 darjah Celcius, lonjakan suhu terbesar pernah dilihat.

September adalah kira-kira 1.8C lebih panas daripada suhu pada era sebelum zaman perindustrian.

Sementara itu, penyelidik iklim di Institut Meteorologi Finland Mika Rantanen turut menyuarakan kebimbangannya.

“Saya masih bergelut untuk memahami bagaimana suhu untuk satu tahun boleh melonjak begitu banyak berbanding tahun-tahun sebelumnya.

"Hanya dengan menambah titik data terkini, trend pemanasan linear sejak 1979 meningkat sebanyak 10 peratus," katanya pada hantaran di X semalam.

Tidak syak lagi 2023 akan menjadi tahun yang paling panas dalam rekod, kata penyelidik menjangkakan 2024 mungkin akan terus memecahkan rekod suhu paling panas lagi.

Menurut saintis, kesan pemanasan El Nino paling dirasai pada tahun kedua selepas ia bermula.

Suhu panas mencecah paras rekod dalam banyak negara juga, termasuk Perancis, Jerman dan Poland dan merata bahagian Asia.

United Kingdom menyaksikan September paling panas dalam rekod, menurut laporan Jabatan Meterologi yang merujuk data sehingga ke tahun 1884.

Para saintis juga berkata peristiwa kepanasan luar biasa pada 2023 boleh menjadi fenomena biasa hanya dalam satu dekad saja lagi, melainkan terdapat peningkatan usaha bersungguh-sungguh dalam tindakan iklim.