Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kes bunuh: Suspek mati antara empat akan didakwa

Seorang suspek yang meninggal dunia dalam tahanan polis akan didakwa atas tuduhan membunuh tiga warga Sri Lanka di Kuala Lumpur bulan lepas.

“Kita akan mendakwa keempat-empat suspek termasuk yang sudah meninggal dunia.

"Ia cara yang sama mendakwa seseorang tanpa kehadiran di mahkamah," kata Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid kepada Malaysiakini hari ini.

Warganegara Sri Lanka berusia 43 tahun yang meninggal dunia pada 30 Sept lepas selepas mengadu sakit dada merupakan bapa kepada salah seorang mangsa. Isterinya antara empat yang akan didakwa.

Tiga lagi suspek yang akan didakwa juga warga Sri Lanka.

Dua mangsa bunuh pula dikenal pasti sebagai penyewa di rumah kedai di Sentul yang mana mayat mereka ditemui di dalam bilik stor dalam keadaan tangan dan kaki terikat serta kepala ditutup dengan beg plastik.

Peguam Kitson Foong memberitahu Malaysiakini tiada peruntukan dalam Kanun Tatacara Jenayah untuk menghalang pendakwa raya daripada mendakwa seseorang yang telah meninggal dunia.

“Sekiranya mereka berbuat demikian, kertas pertuduhan boleh menyatakan nama tertuduh sebagai A, B dan C (si mati) dengan kurungan untuk menunjukkan status orang itu.

“Nanti apabila kes disebut, pada satu ketika, timbalan pendakwa raya akan menawarkan untuk menarik balik pertuduhan atau memohon pelepasan dan mahkamah akan memutuskan untuk membebaskan si mati,” jelasnya ketika dihubungi bagi mendapatkan penjelasan.

Foong berkata perbicaraan kemudian akan diteruskan dengan suspek yang masih hidup.

“Bagaimanapun, apa yang biasa mereka lakukan sebagai amalan umum ialah apabila seseorang meninggal dunia sebelum didakwa, pihak pendakwa tidak akan mendakwa si mati.

“Nama dan peranan mereka dalam jenayah yang didakwa akan dibangkitkan pada peringkat perbicaraan dalam kes terhadap baki suspek,” tambahnya.

Pada 2 Okt, Allaudeen berkata lapan suspek telah ditahan berhubung pembunuhan itu.

Dia memberitahu Malaysiakini hari ini bahawa suspek lain, termasuk seorang warga Pakistan, telah dibebaskan.

Ketua polis itu juga berkata kes itu dianggap selesai dan motif pembunuhan itu dipercayai "isu wang dan hutang.”

[Baca berita asal]