PM arah tangguh operasi pengosongan Kg Sg Baru
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengeluarkan arahan menangguhkan operasi pengusiran penduduk Kampung Sungai Baru yang berkuat kuasa hari ini.
Setiausaha politik Anwar, Azman Abidin mengesahkan perkara tersebut kepada Malaysiakini.
"Saya sahkan PM telah mengarahkan operasi pengosongan Kampung Sungai Baru ditangguhkan, yang sepatutnya diadakan hari ini.
"Pejabat Perdana Menteri (PMO) juga memberi arahan bahawa penduduk diberi tempoh sehingga 31 Okt tahun ini. Ini adalah lanjutan, yang sebelum ini mereka diberi tempoh sehingga 19 Okt untuk pindah keluar.
"Kami harap Jawatankuasa Bertindak Pemilik Rumah Teres & Flat Kampung Sungai Baru Kuala Lumpur meneruskan rundingan dalam tempoh yang diberi. Mereka juga dialu-alukan sekiranya mempunyai cadangan alternatif," katanya.
Terdahulu, seorang ahli jawatankuasa itu berkata didatangi sekumpulan wakil agensi kerajaan dan pihak pemaju bersama trak polis.
"Mereka datang untuk tampal surat merah (notis pengusiran) sekali lagi di perumahan kami. Ada juga rumah yang kena sita.
"Sepatutnya tarikh pengusiran pada akhir bulan Oktober, tapi dalam surat dipercepatkan pada 19 Okt.
"Kami berharap agar ada cara penyelesaian yang lebih baik. Tapi, kecewa dengan layanan dan cara pengurusan masalah rakyat oleh kerajaan hari ini," kata ahli itu yang tidak ingin mendedahkan namanya.
Sebelum ini, Azman berkata kerajaan mengambil keputusan untuk meneruskan projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur selepas ditangguhkan enam tahun lalu.
Katanya, keputusan itu mengambil kira kepentingan penduduk di situ yang majoritinya telah berpindah keluar dan masih menunggu rumah baru.
Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru melibatkan 67 unit rumah teres dan 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Pangsapuri Sungai Baru dengan proses pengambilan tanah bermula sejak tahun 2016.
Pada Julai tahun lalu, penduduk di Kampung Sungai Baru menerima surat Warta Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960 yang memaksa mereka keluar dari tanah itu dengan pampasan.
Namun, penduduk, khususnya penghuni rumah teres tidak setuju dengan kadar pampasan RM400 sekaki persegi ditetapkan oleh Pejabat Tanah dan Galian Kuala Lumpur (PTGWPKL).
Sehingga kini, sebanyak 37 penduduk rumah teres tidak setuju dengan pampasan ditawarkan, manakala 27 penghuni bersetuju.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai