Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PN dapatkan bantuan NGO bawa pulang pengundi luar

PRK PELANGAI | PN mendapatkan bantuan NGO Melayu untuk membawa pengundi yang tinggal di luar, dalam usaha meningkatkan peluangnya untuk memenangi PRK Pelangai pada 7 Oktober ini.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man semalam bersama-sama dengan beberapa NGO, antaranya Perkasa dan Ummah, dalam sesi dialog bagi membincangkan peranan yang boleh dimainkan mereka dalam PRK ini.

Tuan Ibrahim yang juga ketua pembangkang Pahang menyuarakan rasa kecewa terhadap apa yang disifatkannya sebagai "kurangnya kesedaran politik" dalam kalangan orang Melayu ketika PRK Pulai bulan lalu.

Dia turut menyatakan kadar peratusan undi yang rendah telah membawa kepada kemenangan PH dalam PRK tersebut.

"Oleh itu, kita perlu menggerakkan usaha panggil balik (pengundi luar untuk mengundi). Kita boleh hubung mereka, tapi kita nak agar mereka ada kesedaran untuk balik mengundi.

"(Beritahu mereka) jangan anggap satu undi ini tak penting. Jangan anggap (mudah) PRK (kerana) tak ubah kerajaan negeri atau persekutuan," katanya ketika berucap dalam sesi itu yang diadakan di Simpang Durian, iaitu daerah di Negeri Sembilan yang bersempadan dengan Pelangai.

Muhyiddin dan Tuan Ibrahim

Antara yang hadir adalah Presiden Ummah Mohd Zai Mustafa dan Presiden Perkasa Syed Hassan Syed Ali.

Tuan Ibrahim berkata sikap orang bukan Melayu berkenaan hak mengundi pula begitu berbeza.

Menurutnya, pengundi bukan Melayu yang tinggal di luar negara sanggup membelanjakan ribuan ringgit untuk pulang mengundi kerana mereka tahu akan nilai undi mereka.

"Sebab itu untuk sahabat-sahabat NGO, memang kita harapkan tuan-tuan berperanan untuk kenal pasti (pengundi luar) dan minta mereka balik mengundi.

"Saya ingat nasihat Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat (yang berkata) walau terpaksa merangkak, kena balik mengundi.

"Ini kerana undi kita bukan untuk lima minit atau lima hari, tetapi lima tahun. Dalam lima tahun, macam-macam boleh berlaku," katanya lagi.

'Misi penting'

Terdahulu, Mohd Zai dalam kata-kata aluannya menggesa semua NGO yang hadir untuk menggerakkan jentera bagi membawa pulang kira-kira 2,000 pengundi luar, terutama generasi lebih muda.

Mohd Zai berkata mereka ada misi penting untuk membantu PN menang di Pelangai.

"Penting juga untuk kita beri kesedaran kepada NGO di dalam dan luar Pahang, serta anak perantau.

"Kita bawa (mereka) balik. Kita buat segala usaha yang termampu untuk bawa (mereka) balik.

"Kalau perlu hantar mereka, kita hantar. Kalau perlu bantuan, kita bantu mereka," katanya.

'Paksa balik mengundi'

Sementara itu, Syed Hassan menggesa anggota NGO yang tinggal di Kuala Lumpur dan Selangor untuk memastikan pengundi Pelangai yang tinggal di kawasan mereka untuk pulang mengundi pada Sabtu ini.

"Paksa mereka balik mengundi. Dengan mengundi, mereka boleh beritahu (kerajaan) jangan tipu lagi dan mereka tolak PH dan BN kerana tipu mereka," katanya.

Menurut daftar pemilih terkini, DUN Pelangai mempunyai 16,456 pengundi berdaftar, termasuk 16,417 pengundi biasa, 36 anggota polis dan tiga pengundi luar negara.

Difahamkan kira-kira 2,000 pengundi biasa tinggal di luar Pelangai.