Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

BPlant, KLK: Perjanjian Boustead-KLK masih dalam perbincangan

Cadangan penjualan 33 peratus kepentingan dalam Boustead Plantations Bhd (BPlant) oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Holdings Bhd kepada Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) masih dalam perbincangan, kata Bplant dan KLK.

Dalam makluman berasingan kepada Bursa Malaysia semalam, BPlant dan KLK berkata mereka dimaklumkan bahawa kerjasama strategik yang dicadangkan itu masih menunggu keputusan muktamad antara pihak yang terlibat, dan tarikh akhir bagi memuktamadkan cadangan itu adalah pada 6 Okt, 2023.

BPlant berkata ia dimaklumkan oleh pemegang saham, iaitu Boustead Holdings dan LTAT, manakala RHB Investment Bank, bagi pihak lembaga KLK, maklumat itu diperoleh selepas usaha wajar dan penelitian dengan semua pengarah, pemegang saham utama dan pihak lain yang berkaitan yang biasa dengan perkara itu.

Kedua-dua BPlant dan KLK memberi kenyataan itu kepada Bursa Malaysia Securities Bhd berikutan satu laporan oleh The Edge CEO Morning Brief semalam bertajuk “RM1.15 bil Boustead-KLK deals falls through, say sources; govt seeks RM2 bil to ‘save’ LTAT”.

RHB Investment, penasihat utama KLK bagi pelaksanaan korporat yang dicadangkan itu, turut memetik kenyataan daripada laporan itu berkaitan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini, berhubung hasrat kerajaan untuk "membantu LTAT mengelakkan kerugian”.

"Pihak lembaga ingin menjelaskan bahawa syarikat itu tiada notis awal, dan tiada pengesahan mengenai hasrat kerajaan itu," katanya dalam makluman itu.

Tarikh akhir untuk memuktamadkan cadangan itu telah dilanjutkan sebanyak dua kali.

Dalam satu kenyataan pada 11 Sept, KLK mengumumkan bahawa pihak-pihak terbabit telah bersetuju untuk melanjutkan tarikh akhir itu kepada 22 Sept dan kemudiannya kepada 6 Okt.

- Bernama