Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

KM P Pinang pertahan rundingan terus penjualan tanah k'jaan negeri

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mempertahankan urus niaga menerusi rundingan terus yang dimeterai dengan Umech Construction Sdn Bhd untuk penjualan tanah milik kerajaan negeri di Byram, Seberang Perai Selatan.

Chow menjawab persoalan yang dibangkitkan Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang berhubung proses tender tersebut dan mengapa syarikat tempatan dikatakan tidak diberi peluang untuk turut serta dalam proses itu.

"Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah membawa cadangan projek Taman Perindustrian di Byram ke Expo Dubai 2020 untuk mendapatkan pelabur yang berminat memandangkan pembangunan kawasan ini berhadapan dengan pelbagai halangan terutama faktor lokasinya yang berdekatan dengan tapak pelupusan sampah Pulau Burung, laluan lori-lori sampah, kos penyediaan infrastruktur yang tinggi dan sebagainya.

"Kekangan yang dihadapi ini menyebabkan usaha-usaha promosi menarik pelabur adalah sangat mencabar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Chow, kerajaan negeri telah membuat pengumuman di media dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dalam usaha untuk menarik pelabur dalam dan luar negara untuk projek tersebut.

Dia berkata, ketika Expo Dubai 2020 Umech Construction menyuarakan minat untuk melabur dalam projek itu dalam selepas perbincangan, PDC yakin syarikat itu memiliki sumber kewangan untuk melaksanakannya.

"Pemilihan Umech juga dibuat mengikut prosedur dan penilaian wajar telah dijalankan dengan teliti.

"Projek rundingan terus adalah merupakan salah satu kaedah dalam mendapatkan tawaran yang baik," katanya lagi.

Chow turut mempertahankan nilai penjualan tanah yang dibuat PDC kepada Umech dengan menyatakan ia berdasarkan harga tanah semasa di kawasan itu.

"Memandangkan tanah terlibat masih belum dibangunkan maka harganya tidak boleh dibandingkan dengan harga tanah industri yang telah siap ditambun dan lengkap dengan infrastruktur," katanya.

Katanya, PDC menganggarkan Umech perlu menanggung kos RM500 juta untuk pembangunan infrastruktur.

Perlu penjelasan dari Umech

Katanya lagi, bagi memastikan PDC mendapat keuntungan maksimum, perbadanan itu menetapkan jadual bayarn secara ansuran dengan mengambil kira peningkatan nilai harga mengikut tahun pembayaran.

"(Oleh itu) sekiranya Umech gagal melaksanakan projek dan menjelaskan sumbangan tunai mengikut jadual yang ditetapkan, PDC masih berpeluang untuk tidak meneruskan penyerahan tanah bagi fasa-fasa berikutnya," katanya lagi.

Chow juga menjelaskan tanah itu belum dipindah milik kepada Umech dan syarikat itu hanya menjalankan kajian kebolehsaknaan bagi menilai reaksi pasaran.

"Pelaksanaan projek tersebut adalah mengikut tatacara dan prosedur PDC.

"Bagaimanapun, penglibatan pihak Sunway sebagai pemegang saham majoriti Umech adalah di luar pengetahuan PDC. Perkara berkaitan hanya diketahui selepas majlis tandatangan surat perjanjian melalui pengumuman yang dibuat oleh pihak Sunway di media.

"Berdasarkan perjanjian usaha sama, Umech terikat untuk memaklumkan dan mendapatkan kelulusan PDC sekiranya terdapat perubahan struktur pegangan saham syarikat. Bagaimanapun, perubahan tersebut berlaku sebelum perjanjian tersebut ditandatangani dan di luar kawalan PDC," katanya.

Namun begitu, katanya lagi, PDC telah menghantar surat kepada umech bagi mendapatkan penjelasan dan akan memutuskan tindakan susulan selepas menilai penjelasan itu.