Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Asean patut segerakan akta jerebu rentas sempadan - NGO

Jerebu kembali lagi ke Malaysia dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tidak sihat.

Lantaran itu, NGO pemantau alam sekitar Greenpeace mengulangi gesaan supaya negara-negara Asean segera menggubal undang-undang jerebu rentas sempadan domestik di negara masing-masing.

Greenpeace berkata penggubalan undang-undang pencemaran jerebu rentas sempadan itu penting bagi memastikan syarikat tidak menyumbang kepada jerebu di dalam dan luar negara.

“Menggubal Akta Jerebu Merentasi Sempadan domestik adalah perlu untuk bertindak sebagai penghalang, terutamanya kerana terdapat pihak yang tidak baik dalam industri.

"Ia boleh menyediakan alasan undang-undang bagi setiap negara untuk menginstitusikan semak dan imbang bagi memastikan syarikat mereka sendiri beroperasi secara bertanggungjawab," kata ahli strategi kempen serantau Asia Tenggara Greenpeace Heng Kiah Chun.

NGO antarabangsa itu juga menggesa negara Asean supaya mengambil langkah yang penting dalam menangani isu jerebu.

"Membangunkan rangka kerja undang-undang serantau untuk memastikan entiti korporat bertanggungjawab terhadap kebakaran hutan domestik akibat pembersihan tanah gambut dan pembakaran sisa pertanian.

“Memandatkan semua syarikat yang dikenali dengan kegiatan penebangan hutan untuk mendedahkan dan menerbitkan peta konsesi secara terbuka untuk dikongsi di semua negara anggota Asean bagi meningkatkan ketelusan dalam rantaian bekalan mereka.

"Bersetuju mengenai penunjuk kualiti udara standard untuk digunakan di semua negara anggota Asean dalam memantau dan mengesan pencemaran udara berdasarkan metodologi yang sama dan bertindak sewajarnya," kata NGO itu.

Isu jerebu rentas sempadan telah berulang kali timbul di rantau ini sejak 30 tahun lalu dan seruan untuk perjanjian rentas sempadan bukanlah perkara baru.

Pada September 2019, menteri tenaga, sains, teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim ketika itu Yeo Bee Yin berkata kementeriannya bersedia merangka Akta Jerebu Merentasi Sempadan untuk menghukum syarikat Malaysia yang menyebabkan jerebu di negara lain.

Hari ini, lima kawasan di Semenanjung Malaysia terus mencatatkan bacaan IPU tidak sihat setakat 9 pagi dan terdapat peningkatan bacaan IPU tidak sihat sejak Jumaat lalu (29 Sept).

Jabatan Alam Sekitar berkata ini berikutan jerebu rentas sempadan dari pembakaran di Indonesia.

Kementerian Kesihatan sejak itu menasihatkan orang ramai di kawasan yang mempunyai bacaan IPU "tidak sihat" untuk mengambil langkah pencegahan untuk mengurangkan kesan terhadap kesihatan mereka.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata langkah yang boleh diambil termasuk mengurangkan aktiviti fizikal luar dan menggunakan topeng muka ketika berada di luar rumah.