Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

MP Seputeh gesa segera buka SPE untuk kurangkan kesesakan

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok hari ini menggesa pihak berkuasa lebuh raya menyegerakan pembukaan Lebuhraya Setiawangsa–Pantai (SPE) yang melalui kawasan parlimennya.

Kok berkata dia telah menghadiri mesyuarat dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Jumaat lalu dan dimaklumkan bahawa Jalan Loke Yew akan ditutup secara berperingkat mulai esok (2 Okt) hingga Oktober tahun depan untuk kerja-kerja pembinaan.

“Saya beritahu mereka kalau nak tutup jalan penting, sekurang-kurangnya buka SPE.

"Tetapi mereka menjawab, rancangannya hanya dibuka pada pertengahan November," kata Kok kepada pemberita yang berkumpul bersama penduduk Taman Desa di tepi jalan dalam di sepanjang SPE.

Kok juga berkata dia pada Ogos lalu melawat pelbagai tapak bersama syarikat konsesi projek SPE Lebuhraya Duke Fasa 3 Sdn Bhd, dan kemudiannya menulis surat kepada Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi.

“Saya beritahu beliau (menteri) bahawa saya dimaklumkan (oleh syarikat konsesi projek) SPE telah siap pada 21 Mei 2023.

“Jadi pada Mei mereka sudah siap, tetapi sehingga hari ini ia tidak dibuka.

“Saya tidak berpuas hati dan bimbang dengan keadaan lalu lintas esok apabila jalan raya (Jalan Loke Yew) ditutup,” tambah Kok.

Lebuhraya sepanjang 29.8 kilometer (18.5 mi) menghubungkan Pintu Gerbang Taman Melati dan Klang dari Jalan Lingkaran Tengah Kuala Lumpur 2 (MRR2) ke Kerinchi Link - dari utara ke selatan Kuala Lumpur - merentasi kawasan seperti Universiti Tunku Abdul Rahman, Wangsa Maju, Setiawangsa, Ampang, koridor pembangunan Tun Razak Exchange & Bandar Malaysia, dan Kerinchi.

Presiden Persatuan Penduduk Taman Desa Wong Chan Choy berkata kelewatan pembukaan SPE akan memburukkan lagi perjalanan harian mereka ke pusat bandar, dengan lebih sejam trafik perlahan sudah menjadi perkara biasa.

“Saya telah tinggal di sini selama 34 tahun. Kali terakhir tiada pembahagi (di jalan besar).

"Sekarang ada pembahagi jalan, dan kemudian apabila mereka menutup Jalan Loke Yew, penduduk dari sini tidak boleh u-turn ke sana lagi," kata Chan

DBKL dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata penutupan jalan dan lencongan lalu lintas akan dilakukan bagi memudahkan pembinaan jambatan di Bulatan Loke Yew, Jalan Sungai Besi menghala ke Sg. Besi/ Petaling Jaya.