Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

K'jaan Selangor tunggu kelulusan roboh Stadium Shah Alam

Kerajaan Selangor sedang menunggu kelulusan kebenaran merancang (KM) untuk melaksanakan perobohan Stadium Shah Alam yang bakal diganti dengan Kompleks Stadium Shah Alam (KSSA) baru.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata perobohan stadium itu dijangka akan dilaksanakan selewatnya awal November depan setelah KM yang dipohon diluluskan.

“Sememangnya (perobohan) stadium akan bermula tahun ini. Kalau tidak awal mungkin akhir Oktober. Kalau tidak awal November. Ini sasaran kami.

“Insya-Allah tahun ini akan mula perobohan dan tahun 2026 (KSSA) akan siap.

“Itu sasaran kita,” katanya yang ketika mengulas berhubung perkembangan terkini proses pembangunan KSSA selepas merasmikan Ekspo Hartanah Selangor 2023 anjuran Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) di Shah Alam, hari ini.

Media pada Jun lepas melaporkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor sudah menghantar permohonan KM bagi melaksanakan perobohan stadium berkenaan.

Amirudin berkata ia berikutan Stadium Shah Alam merupakan struktur yang besar dan banyak proses perlu dilihat serta diteliti.

- Bernama