Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pengundi bukan Melayu 'malu': Calon PN tukar taktik kempen

PRK PELANGAI: Menarik minat orang bukan Melayu terhadap kempen PN merupakan antara cabaran yang dihadapi oleh gabungan tersebut pada pilihan raya kecil ini.

Lantaran itu, calon PN Kasim Samat berkata dia akan menukar taktik dan akan berkempen menemui pengundi secara langsung dari pintu ke pintu.

Dia berkata masyarakat Cina tempatan kelihatan 'malu-malu' untuk menunjukkan sokongan secara terbuka kepada PN.

"Saya rasa kita akan pergiatkan lagi (kempen) mendekati mereka.

"Mungkin secara ziarah seperti mana kita buat di kawasan-kawasan Melayu.

"Mungkin program ziarah lebih bermakna daripada kita buat program (pesta tanglung) begini.

"Mungkin ada yang malu nak hadir, takut rakan-rakannya melihat," kata Kasim kepada pemberita menjawab soalan mengenai program Pesta Tanglung PN di Pelangai kurang mendapat sambutan.

Pagi semalam, Kasim turun berkempen di Manchis, sebuah pekan dengan majoriti penduduk Cina.

"Pagi ini saya jalan-jalan jumpa uncle dan aunty kita di pekan Manchis.

"Seronok saya tengok mereka berpagi-pagian dengan aktiviti kayuh basikal, buka workshop, buka kedai, jual sayur, jual buah (durian pun ada ya) dan semestinya aktiviti pagi kesukaan kita semua iaitu mengopi bersama rakan-rakan yang lain.

"Pekan Manchis ini majoritinya adalah kawan-kawan saya daripada kaum Cina. Mereka sangat peramah dan sangat meraikan kehadiran kami. Alhamdulillah.

"InsyaAllah saya akan buktikan, kawan-kawan Cina kita juga boleh dan bersedia untuk bersama dengan Perikatan Nasional," katanya pada hantaran di media sosial.

Petang Khamis lalu, kempen PN cuba meyakinkan penduduk Telemong untuk menyertai acara pesta tanglung mereka.

Beberapa penduduk tempatan hanya melihat acara dari jauh manakala segelintir kanak-kanak dilihat ikut serta mengambil tanglung.

Walaupun sebahagian besarnya merupakan kawasan majoriti Melayu, terdapat 28 peratus pengundi bukan Melayu, yang kebanyakannya undi mereka terpecah antara BN dan PH semasa pilihan raya November 2022.