PH Sabah harus kekalkan autonomi - Upko
Majlis Tertinggi Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) yang bermesyuarat hari ini berpendirian autonomi Pakatan Harapan (PH) Sabah harus dikekalkan bagi membolehkan gabungan itu membuat sebarang keputusan demi kepentingan parti dan rakyat negeri ini.
Presidennya Datuk Ewon Benedick berkata autonomi itu penting bagi membolehkan keputusan dibuat antaranya berkaitan pengagihan kerusi serta calon pilihan raya di Sabah dan barisan kepimpinan PH negeri itu ditentukan melalui perbincangan parti komponen gabungan di negeri itu.
“Kita tidak mahu sebarang keputusan dibuat tanpa berunding dengan semua parti (komponen) PH di sini (iaitu) Upko, PKR Sabah, DAP Sabah dan Amanah Sabah.
"Semua parti juga harus berbincang jika ada perubahan kepimpinan PH Sabah.
“Dua tahun ini juga pilihan raya negeri Sabah (bakal diadakan), jadi persiapan dan segalanya yang terkait itu autonominya harus diberikan serta dikekalkan kepada PH Sabah,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan di Kota Kinabalu hari ini.
Sementara itu, beliau berkata mesyuarat itu juga mengesahkan bahawa parti itu mempunyai seramai 160,041 orang ahli berdaftar di seluruh negara setakat Ogos lepas di 25 bahagian termasuk empat bahagian di Perak.
“Mesyuarat juga memperakukan penganjuran Konvensyen Upko Peringkat Zon bermula pada 15 Okt ini bagi bahagian Beaufort, Kimanis dan Papar. Kita juga membenarkan ahli parti membahaskan perkara-perkara menjadi keprihatinan bahagian yang menganjurkan konvensyen tersebut,” katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai