Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

JAS K'tan boleh saman syarikat lombong emas tanpa EIA - Takiyuddin

Nota Editor: Versi awal artikel ini merujuk kepada jabatan negeri Kelantan yang berbeza, dan telah dipinda mengikut pembetulan daripada pejabat Takiyuddin.


Jabatan Alam Sekitar Kelantan boleh mengambil tindakan terhadap syarikat yang dikaitkan dengan kerajaan negeri itu jika didapati menjalankan aktiviti perlombongan emas tanpa kelulusan yang diperlukan, kata Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

Syarikat di sebalik projek itu ialah Akademi Yakin Sdn Bhd (AYSB), anak syarikat dan cabang pelaburan Yayasan Kelantan Darul Naim (Yakin).

“AYSB cari pelabur untuk lombong emas. Bila perlombongan ada perjanjian dengan syarikat kontraktor pelombong, dalam itu syarat mesti mematuhi syarat ditetapkan kerajaan.

"Kalau dia melombong tanpa EIA (penilaian kesan alam sekitar), JAS boleh saman syarikat itu," kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu pada sidang media di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini.

"Kami tidak ada masalah kalau ambil tindakan. Kita tak tolak ansur dari segi pelanggaran undang-undang," tambah Takiyuddin.

Mengikut dokumentasi yang ada, projek perlombongan emas seluas 199.7 hektar - terletak di Lot 11311 kawasan Hutan Simpan Jentiang di Dabong, Gua Musang - telah beroperasi sejak 2017, dengan aktiviti dijalankan sebelum EIA yang sewajarnya dilaksanakan.

Laporan EIA menunjukkan bahawa AYSB bekerjasama dengan Dazr Holding Sdn Bhd dalam usaha sama untuk melombong emas.

Laporan audit am juga mendedahkan amalan meneruskan aktiviti perlombongan sebelum mendapatkan kelulusan yang sewajarnya, yang membawa kepada Pejabat Tanah mengeluarkan notis pembetulan kepada AYSB pada Disember 2021, mengkritik operasi preemptif atau perlombongan mereka sebelum laporan EIA diluluskan.

'Tiada kepentingan peribadi'

Rekod syarikat mengenal pasti Takiyuddin sebagai ahli lembaga AYSB, bersama bekas timbalan ketua menteri Mohd Amar Abdullah, pegawai kewangan kerajaan negeri Norazman Abdul Ghani, pengarah Yakin Shamsul Abu Bakar, dan Adun Kadok Azami Mohd Nor.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata dia dilantik sebagai pengarah penama (pengarah nominee) atas kapasitinya sebagai bekas exco kerajaan negeri.


BACA BERKAITAN:

Lombong emas di K'tan berkait pemimpin PAS jejas haiwan terancam


"Tidak ada untung apa. Bila syarikat untung, masuk yayasan Kelantan, beri biasiswa dan lain-lain," tambahnya.

Rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia menunjukkan AYSB mempunyai pemegang saham tunggal - Yayasan Kelantan Darulnaim (Yakin).

Ditubuhkan pada 1981, Yakin adalah sebuah badan berkanun yang bertanggungjawab membantu pelajar Kelantan.