Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Program CSR di Pelangai tiada kaitan dengan PRK, kata Wan Rosdy

Program tanggungjawab sosial korporat yang diadakan di DUN Pelangai ketika ini tiada kaitan dengan pilihan raya kecil, menurut Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail.

Ditemui ketika majlis penyerahan bantuan persekolahan Yayasan Bank Rakyat di SMK Seri Pelangai di Bentong, Wan Rosdy berkata dia hanya memenuhi jemputan untuk turut serta dalam program tersebut.

"(Apa yang) tidak boleh kita pakai baju parti, kita beri duit kepada mereka yang datang. (Yang datang) bukan semuanya pengundi.

"Saya hanya menerima jemputan, saya banyak berada di Bentong dan Pelangai dalam masa terdekat. Jadi, mereka pilih di sini, kalau tidak saya tidak dapat hadir," katanya kepada media.

Turut hadir di majlis itu adalah Timbalan Pengerusi Yayasan Bank Rakyat Nurul Akmal Mohd Fauzi dan Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman.

Wan Rosdy merakamkan penghargaan kepada Yayasan Bank Rakyat atas tanggungjawab sosial yang dilaksanakan mereka.

"Terima kasih kerana memberi peluang kepada anak yang belajar di sini, dalam usaha ini kita berterusan seperti mana kerajaan negeri daripada dulu sehingga sekarang kita memberikan Bantuan Prihatin Pahang," katanya.

Dia berkata kerajaan negeri juga tidak menunggu waktu tertentu untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat.

"(Hanya) tak boleh bagi bantuan semasa kerajaan sementara (ketika pilihan raya), tapi hari ini kerajaan sudah ada.

"Ada atau tiada PRK, program berjalan seperti biasa," katanya lagi.

Hari ini masuk seminggu tempoh kempen bagi PRK Pelangai, dengan para pengundi akan membuat pilihan mereka pada 7 Oktober ini.