Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Rais Yatim kesal atap Rumah P Ramlee 'hampir roboh'

Atap dan siling rumah kelahiran Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang diperbuat daripada anyaman mengkuang di Jalan P Ramlee di George Town, hampir roboh akibat masalah kebocoran.

Keadaan rumah seniman agung negara itu mendapat perhatian bekas Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim yang memuat naik di laman Facebook beliau mengenai keadaan siling selepas mengunjungi rumah terbabit Ahad lepas.

"Betul-betul terkejut bila mendapati atap dan siling rumah asal seniman agung kita ini hampir roboh lantaran kebocoran yang berlarutan.

“Keadaannya (rumah) amat menyedihkan, apatah lagi ini rumah P Ramlee, seniman idola kita, tentu sekali roh ‘Ramlee’ akan menangis melihat rumah pusakanya dalam keadaan begitu terbiar," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Justeru, Rais menggesa pihak bertanggungjawab segera melakukan kerja pembaikan bahagian atap siling yang mengalami kerosakan.

Presiden Kelab Peminat P Ramlee Pulau Pinang Tan Sri Mohd Yussof Latiff berharap Arkib Negara selaku pihak yang menguruskan rumah P Ramlee, supaya segera membaiki siling rumah itu bagi memastikan khazanah negara terpelihara.

"Saya kecewa dengan keadaan rumah kelahiran Seniman Agung P Ramlee yang kini rosak, tidak sepatutnya keadaan ini berlaku.

"Rumah ini adalah warisan negara iaitu di sini lahirnya seniman agung negara dan rumah ini tidak ada di tempat lain.

"Saya berharap rumah ini dapat dibaik pulih segera oleh pihak bertanggungjawab," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, jurucakap Arkib Negara ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya maklum mengenai kerosakan dan kebocoran atap serta siling rumah P Ramlee sejak minggu lepas dan akan dibaiki bermula esok.

"Pihak Arkib Negara memang maklum kejadian tersebut (sebelum di muat naik di Facebook Rais) dan sedia untuk baiki kerosakan atap dan siling di rumah itu yang dijalankan oleh pihak kontraktor bermula esok," katanya tanpa mengulas jumlah kos membaikinya.

Kenyataan media terperinci akan dikeluarkan oleh Arkib Negara dalam masa terdekat.

- Bernama