Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Polis tahan warga India disyaki suspek kes serangan seksual

Polis berjaya memberkas seorang sami dalam buruan kerana disyaki melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita tempatan dalam kejadian awal tahun 2017.

Pemangku Ketua Polis Daerah Serdang Supt Izuddin Ab Wahab berkata lelaki yang berasal dari India itu ditahan di sekitar Puchong Jaya, Selangor, Sabtu (23 Sept) lepas.

"Suspek direman pada 24 Sept dan permohonan reman yang dibuat di Mahkamah Petaling Jaya telah diluluskan Majistret iaitu selama tujuh hari sehingga Sabtu (30 Sept) ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

"Setakat ini, hanya seorang sahaja mangsa yang membuat laporan polis melibatkan suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bernama sebelum ini melaporkan lelaki berusia lingkungan 40-an itu diburu polis setelah menerima laporan daripada mangsa yang berusia lingkungan 30-an mengenai kejadian yang berlaku kira-kira enam tahun lepas.

Mangsa yang trauma dengan kejadian yang berlaku di dalam kenderaan miliknya itu bagaimanapun hanya membuat laporan polis bulan lepas.

- Bernama