Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Mahkamah tolak permohonan DNAA kes rasuah 'Datuk Seri' dikait Hamzah

Mahkamah jenayah menolak permohonan seorang “Datuk Seri” untuk menggugurkan kes rasuah RM15 juta terhadapnya yang mengaitkan bekas menteri dalam negeri Hamzah Zainudin.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Rozina Ayob petang ini menolak permohonan tertuduh ahli perniagaan Sim Choo Thiam bagi dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada empat pertuduhan rasuah - satu tuduhan kerana meminta dan tiga lagi kerana menerima rasuah - membabitkan RM15 juta.

Hakim Rozina berkata sebarang kecacatan yang dikatakan dalam pertuduhan boleh diperbetul semasa perbicaraan penuh yang ditetapkan pada Mei tahun depan, dan tidak menjejaskan tertuduh.

Dia juga menolak permohonan Sim di bawah Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah (CPC) untuk pihak pendakwaan memberikan beberapa kenyataan bertulis fakta yang memihak kepada tertuduh.

Salah satunya adalah berhubung dakwaan bahawa SPRM hanya merekodkan kenyataan Hamzah (gambar, atas) pada petang 10 Mei, selepas Sim didakwa di mahkamah jenayah pada pagi hari yang sama.

Satu lagi adalah berhubung fakta dakwaan bahawa kenyataan yang beliau berikan dan direkodkan oleh SPRM sebelum ini pada 16 dan 28 Feb tahun ini adalah "kenyataan pengecualian" yang tidak menyokong mana-mana kesalahan yang didakwa dinyatakan dalam empat pertuduhan.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik (gambar, bawah) mewakili Sim, manakala timbalan pendakwa raya Rasyidah Murni Adzmi adalah sebahagian daripada pasukan pendakwaan petang ini.

Ketika ditemui media selepas prosiding, Hisyam berkata mereka sedang mempertimbangkan sama ada akan memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Tinggi bagi membatalkan keputusan hari ini.

Mengikut salinan permohonan DNAA-nya, Sim berkata empat pertuduhan itu bertentangan dengan Seksyen 153 dan 154 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) yang mewajibkan perincian seperti masa dan tempat kesalahan itu didakwa berlaku, dinyatakan.

Ahli perniagaan itu juga mendakwa penyiasatan kes pada masa berkenaan tidak lengkap.

Tidak seperti pembebasan penuh, tertuduh yang diberikan DNAA boleh didakwa atas kesalahan yang sama pada masa hadapan jika pihak pendakwaan ingin berbuat demikian.

Permohonan dibuat di bawah Seksyen 173(g) KTJ.

Pad 10 Mei lalu, Sim, 63, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan ke atas empat pertuduhan rasuah yang didakwa dilakukan antara Jun dan 30 Julai 2021.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu, sebagai dorongan untuk Hamzah, yang ketika itu menteri dalam negeri semasa pentadbiran Perikatan Nasional, untuk membantu Asia Coding Centre Sdn Bhd untuk mendapatkan sebarang projek daripada agensi di bawah kementerian berkenaan.

Sim dituduh meminta dan menerima rasuah daripada pengarah urusan Asia Coding Centre Hep Kim Hong, melalui Syed Abu Zhafran Syed Ahmad.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Solaris Dutamas, Jalan Dutamas 1, Kuala Lumpur.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009, dengan Seksyen 24(1) akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum tidak melebihi 20 tahun, serta denda tidak kurang lima kali ganda jumlah rasuah yang terlibat atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika tertuduh didapati bersalah.

Dia dibenarkan diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin dan diarahkan supaya menyerahkan pasportnya serta melaporkan diri di ibu pejabat SPRM terdekat di Kuala Lumpur sebulan sekali.

Pada 11 Mei lalu, Hamzah yang juga adalah ketua pembangkang mendakwa tindakan mengaitkan namanya dalam empat pertuduhan rasuah dalam kes tersebut adalah sebagai muslihat politik yang bertujuan untuk mencemarkan nama baiknya.

[Berita penuh menyusul]