Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

‘Wan Ji kawan saya, saya simpati dengan dia, tapi…'

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata dia bersimpati dengan rakannya Wan Ji Wan Hussin yang dipenjara sembilan bulan kerana menghasut.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak dapat melakukan apa-apa kerana itu keputusan mahkamah.

“Wan Ji kawan saya. Saya simpati dengan dia. 

“Tapi itu keputusan mahkamah,” katanya kepada pemberita dalam satu acara hari ini.

Wan Ji Wan Hussin

Chang ditanya berkaitan keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang memutuskan hukuman penjara sembilan bulan terhadap Wan Ji susulan sabitan kes hasutan yang dikaitkan dengan Sultan Selangor pada 2014.

Pemberita bertanya berkaitan pendirian semasa PKR memandangkan presidennya Anwar Ibrahim pernah menyifatkan hukuman terhadap Wan Ji sebagai terlalu keras.

Sementara itu, Chang berkata tiada pihak dapat campur tangan kerana ia keputusan muktamad selepas melalui proses perundangan.

“Jadi tidak banyak yang dapat saya katakan,” katanya.

Wan Ji, penceramah bebas yang mendapat pendidikan agama daripada Pakistan, dianggap sebagai pakar rujuk kepada ramai pemimpin PKR dalam hal ehwal agama.

Anggota PKR itu juga pernah menjadi penasihat agama kepada ketua menteri Pulau Pinang, ketika itu dijawat oleh Lim Guan Eng.