Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Amanah tiada kem, Mat Sabu cemerlang, kata Faiz

Seorang pemimpin Amanah tampil menafikan laporan terdapat kem atau berlaku perpecahan dalam parti itu.

Sebaliknya, ahli Jawatankuasa Amanah Faiz Fadzil  kedudukan presiden parti, Mohamad Sabu adalah kukuh kerana mendapat sokongan semua kepimpinan.

“Kami tiada kem dan presiden tunjukkan prestasi cemerlang selama ini,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.,” katanya.

Mengulas laporan Malaysiakini hari ini berhubung dakwaan bahawa Adly Zahari bakal ditonjolkan bagi mengisi kekosongan di kabinet demi memperkukuhkan pengaruh Mohamad menjelang pemilihan Amanah tidak lama lagi, Faiz menafikannya.

Mohamad Sabu dan Adly Zahari

“Mat Sabu tidak pernah mengetepikan mana-mana pimpinan nasional. Dia meneruskan pemikiran politik Allahyarham Fadzil Noor (bekas presiden PAS) dengan menyeru setiap ahli Amanah memakai baju Amanah dan bukan gerakan lain.

“Justeru, tiada kem tertentu yang wujud dalam parti dan kerjasama kami cukup baik,” katanya.

Faiz berkata, soal pemilihan mana-mana pemimpin bagi jawatan dalam kerajaan diputuskan melalui mesyuarat parti.

Malah menurutnya, satu jawatankuasa khas juga dibentuk bagi tujuan berkenaan.

“Menamakan Ikram atau mana-mana NGO mengasak presiden adalah tidak berasas kerana (ia adalah) propaganda luar untuk pecahkan parti.

“Sedangkan Amanah parti paling kukuh perpaduannya dalam kalangan pimpinan,” katanya.

Bekas Adun Permatang Pasir itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa Mohamad mahu memperkukuhkan kedudukannya menjelang pemilihan Amanah Disember ini.

Allahyarham Salahuddin Ayub

Beberapa sumber mendakwa terdapat cadangan menonjolkan Adly yang juga naib presiden Amanah sebagai calon menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup - bagi menggantikan Allahyarham Salahuddin Ayub - sebagai percaturan bagi mencapai matlamat itu.

Mereka mendakwa kedudukan Mohamad selaku presiden ketika ini tidak begitu kukuh dan ada kemungkinan dia dicabar dalam pemilihan nanti.

Beberapa sumber juga mendakwa rasa tidak puas hati terhadap Mohamad yang juga menteri pertanian dan keterjaminan makanan mula dikesan secara ketara di peringkat bawah.

Bagi menangani perkara itu, mereka mendakwa nama Adly ditonjolkan untuk jawatan menteri dan dia juga mungkin diangkat sebagai timbalan presiden nanti.